Thursday, January 15, 2009

Tandek dulu-dulu

Salam semua,

Walaupun saya tidak dilahirkan di Tandek dan hanya berpeluang menetap di Tandek selama 8 tahun iaitu dari umur 6-14 tahun,namun saya tetap merasa inilah tempat asal saya.Inilah kampung saya.Walaupun menetap di Kota Kinabalu sudah melebihi 30 tahun saya masih merasa asing dan tetap ingin pulang kampung.Begitulah istimewanya Tandek yang senantiasa menggamit jiwa saya.

Memandangkan almarhum bapa saya adalah seorang guru,hidup kami sering berpindah-randah mengikut kemana saja beliau ditugaskan.Setiap ada sekolah baru dibuka,tidak kira samada di bukit atau di pulau almarhum bapa saya akan kesana jika ditugaskan kesana.Hinggalah pada tahun 1965 beliau dihantar bertugas di GPS Bandau.

Dari GPS Bandau ataupun Kota Marudu sebagaimana ia di kenali sekarang, almarhum bapa saya dipindahkan ke GPS Tandek dan mengambil keputusan untuk menetap terus disini.Penat sudah barangkali asyik pindah sana-sini.It's high time to settle down kata mat saleh.Kami membuka sebuah ladang sekaligus membina rumah untuk kami tinggal di Tandek.

Saya masih ingat lagi waktu itu tidak ada jalan raya ke pekan Tandek.Jalan yang ada hanyalah sebuah denai dari pekan Bandau hingga ke kampung Damai.Kami menaiki basikal dari Bandau ke Damai dan sebelum sampai ke Damai kami terpaksa menyeberangi sungai menggunakan rakit.Dan sungai ini memang dikenali dengan nama Rakit hingga ke hari ini.

Dari Damai untuk ke Tandek kami terpaksa berjalan kaki meredah hutan melalui kampung Ongkilan.Hutan dara yang baru diterokai nampaknya sangat subur hinggakan lipan yang ada disitu pun gemuk2 semua.Pertama kali saya melihat lipan gemuk macam ibu jari kaki orang dewasa.Kata pakcik saya (Juali) itu lipan kalau mengigit nda pandai tebuka tu kecuali bebunyi guntur.Bahaya....

Walaupun ditawarkan untuk tinggal di rumah guru di GPS Tandek,kami memilih untuk tinggal di ladang yang baru dibuka.Kami tinggal sementara di sebuah pondok kecil (sulap) yang dibuat daripada kayu dan atap nipah.Disamping itu almarhum bapa saya mengupah tukang kayu untuk membina rumah yang lebih baik.

Biasalah di Tandek selalu hujan dan banjir.Satu hari tiba-tiba angin kuat.Pondok kami yang sudah agak usang ketika itu senget (miring) ditiup angin.Terpaksalah kami tidur di rumah yang belum siap dibina.Untuk sementara tukang kayu meletakkan Card Board sebagai dinding bilik tidur emergency kami tapi dinding itu tidak di paku.Entah macamana saya tidur malam itu agaknya terlalu gundah sehingga terjatuh ke tanah bersama-sama dinding tersebut.Saya sedar saya terjatuh tapi malas untuk bangun naik kerumah dan terus saja tidur di tanah sampai pagi.Best juga tidur di tanah ni...sejuk-seejukk.

Tandek dulu ramai tidak seperti sekarang ini.Dulu Tandek merupakan pekan penghubung untuk ke daerah-daerah lain.Untuk pergi ke Jesselton (Kota Kinabalu) orang ramai dari Bandau,Tg Batu,Pitas dan pekan-pekan lain terpaksa turun ke Tandek dahulu samada melalui jalan darat dengan berjalan kaki atau berbasikal dan ada juga yang menunggang kuda atau kerbau; atau melalui jalan sungai naik johnson (Bot yang menggunakan enjin jenis Johnson).

Dari Tandek orang ramai perlu menaiki kapal laut untuk ke pekan Kudat.Mungkin anda semua terkejut membaca 'kapal laut'.Kapal ini tidak lah terlalu besar mungkin sekitar 30 kaki dan kapal jenis ini sekarang hanya digunakan untuk menangkap ikan.

Saya selalu duduk di pokok ramag di tepi jambatan yang di jadikan jeti.Sambil makan kuaci hitam yang merupakan makanan kegemaran saya waktu itu; saya melihat orang ramai bersalam-salaman dan ada yang sampai mengalirkan air mata kerana berpisah.Dari atas kapal mereka melambaikan saputangan kepada saudara mara yang menghantar mereka pergi.Dalam hati saya berfikir jauh sangatkah Kudat ni.Dari Kudat ke Jesselton terpaksa pula melalui jalan udara dengan menaiki Twin Otter (kapal terbang kecil).

Terdapat dua buah kapal penumpang di Tandek yang dimiliki oleh Ah Leong dan Soon Hock.Kereta waktu itu langsung tidak ada.Pekan Tandek pula sangat cantik dihiasi bunga-bungaan dan pepohon yang menghijau.Sungai Tandek dijaga dengan baik dan seringkali diadakan gotong-royong untuk membersihkan sungai yang di ketuai oleh En Latip.Manakala kawasan sekitar kedai Tandek senantiasa bersih bebas dari sampah sarap.Orang yang bertanggungjawap membersihkan kawasan kedai ini ialah Umuk yang selalu kelihatan bersama kereta sorongnya (Wheel barrow).Itulah saja satu-satunya kereta yang ada di Tandek - kereta si Umuk.

Setahu saya kedua-dua insan yang baik hati ini tidak dibayar gaji,mereka melakukan kerja-kerja ini dengan suka rela.Entahlah kalau ada pihak tertentu yang memberi ganjaran.

Dulu-dulu pasar tamu Tandek ramai sekali.Tamu diadakan setiap hari isnin tapi hari ahad orang ramai sudah berkumpul di pekan.Ada penjual buah-buahan dan sayur-sayuran,ada penjual ikan tapi yang seronok sekali dan paling saya suka ada benggali main silap mata dan ada pertunjukan ular sambil tiup serunai.Macam funfair.

Oklah dulu.Nanti sambung lagi cerita macamana kali pertama saya terjumpa benggali pakar ular itu.Lucu sangat.

Jumpa lagi.Salam.


4 comments:

  1. jika sdr ditawarkan buka rungan khas di SAM pa mcm? ini dah kira tawaran rasmi sudah nih! sila hubungi http://illie-tingkalanon@yahoo.com. beliau akan atur "surat lantikan". Bilang sama dia, TEKONG sudah kasi LULUS.

    Tahniah!

    ReplyDelete
  2. Wah ini sudah bagus.Orait nopo boh.tq.pounsikou di tagayo.

    ReplyDelete
  3. hahaha menarik menarik ini cerita.. time saya tiada sudah jeti sana sudah jadi sungai mati. Saya suka pekan tandek lama... saya suka sekolah sk tandek...

    ReplyDelete
  4. aik... naik juga nama si umuk ooo. Bagus baini orang2 semua. Ikhlas dan innosen kekeke. Jan kau lupa si ompon, si a'al dll juag ki. tulis lagi arrr.

    ReplyDelete