Wednesday, October 14, 2009

Aku, Anang, Ah Keong, Amjah dan Bonging

Dulu masa kecil, saya dan Anang selalu bermain-main di pekarangan kedai Tandek. Kami mempunyai ramai kawan yang tinggal berhampiran.Setiap hari sewaktu cuti sekolah kami akan bermain bersama-sama di sebuah kawasan lapang dihadapan barisan kedai Tandek yang terletak berhampiran sungai.

Jenis permainan pula mengikut musim.Kadang-kadang main guli,gasing,tumpos, main tali,main galah (orang Tandek kata main jabat) atau main layang-layang. Alat permainan kebanyakannya kami buat sendiri contohnya gasing dan layang-layang.

Anang sangat mahir membuat gasing dan layang-layang.Malah bukan itu saja dia juga mahir membuat sangkar burung serindit (teripos) dan senapang ikan. Besar kemungkinan jika Anang meneruskan hobinya ini hingga sekarang tentu dia boleh buat bakakuk sendiri....hehehe

Satu hari saya dan Anang pergi ke kedai Tandek tetapi kawan-kawan yang selalu bermain bersama tidak kelihatan.Maka saya dan Anang pun pergi ke stesen minyak Benzin milik Encik Koh Chin Siong atau lebih dikenali sebagai Ah Siong. Beliau bukan saja seorang peniaga tetapi juga merupakan Kapitan Cina di Tandek.

Stesen minyak ini tidaklah seperti stesen minyak yang kita lihat hari ini. Ia terletak di sebuah kawasan yang lapang manakala minyak benzin yang dijual disini disimpan didalam deram dan hanya diletakkan diatas tanah.Tidak ada dinding mahupun atap.Ampai-ampai kata orang Sabah.Jika ada pembeli yang datang untuk membeli minyak, maka minyak akan dipam keluar secara manual.

Saya dan Anang meninjau-ninjau sekeliling stesen minyak ini dan mendapati beberapa tong deram rebah ke tanah.Rupa-rupanya deram ini sudah tidak berisi. Kami naik keatas deram yang rebah ini lalu deram ini bergolek dan kami terjatuh. Setiap kali kami naik keatas deram ini ia akan bergolek dan kami pula akan jatuh ke tanah.

Ini membuat kami berasa sangat seronok dan tercabar lalu kami berusaha keras untuk berdiri diatas deram yang bergolek tanpa jatuh ke tanah.Hasilnya deram itu bergolek kesana-sini sementara kami terus bertahan berdiri sambil mengimbangi badan diatas deram supaya tidak jatuh.

Tanpa kami sedari kami telah bergerak jauh dari stesen minyak tadi dan gelagat kami menarik perhatian Ah Keong; kanak-kanak lelaki tionghua yang tinggal berhampiran.Ibu Ah Keong adalah pengusaha salon rambut di pekan Tandek ketika itu.

Ah Keong berlari-lari mendapatkan kami dan turut mengambil sebuah deram kosong.Tidak berapa lama kemudian beberapa orang kanak-kanak lain turut bermain sama.Maka riuh rendahlah jadinya.Deram kosong berserakan disana-sini.Akhirnya kami dimarahi oleh tuan punya stesen minyak.

Saya dan Anang berlari ke kawasan warung dimana Babu Rukinah menjalankan perniagaan warong kopinya.Ah Keong pula mengekori kami." Heii....pulang,jangan ikut kami".Kata Anang tapi Ah Keong tidak peduli dan terus mengekori kami.

Saya dan Anang tidak ke warung Babu Rukinah tetapi berlari terus ke warung milik ibu kepada salah seorang rakan baik kami bernama Amjah dan bersembunyi di belakang warung itu.Tujuan kami supaya Ah Keong tidak dapat mencari kami dan akan pulang kerumahnya.Tetapi Ah Keong berjaya menjejaki kami.

Kami berlari semula ke stesen minyak,kali ini ditemani Amjah.Kami bersembunyi di celah-celah deram berisi Benzin kemudian berlari semula kearah warung. Berbagai cara kami lakukan supaya Ah Keong berhenti mengekori kami tetapi Ah Keong tetap tidak mahu pulang.

Akhirnya saya, Anang dan Amjah masing-masing memanjat pokok yang ditanam berbaris diantara dua deretan warung di pekan Tandek itu.Pohon kayu itu adalah dari jenis kayu lembut kalau tidak silap mungkin dari spesis kayu beringin.Ia rendah dan rendang, dijadikan pohon hiasan disamping berbagai spesis bunga-bungaan lain.Cantik sekali pekan Tandek masa itu.

"Apa kamu buat diatas sana?" tanya Ah Keong.

"Ohh...kami dengar radio" kata Anang dan Amjah serentak.Sementara saya pula kebingungan.Mana ada radio atas pokok ni saya berkata dalam hati.Waktu itu saya tidak perasan bahawa pokok yang saya panjat itu mempunyai lubang kecil dan lubang itu adalah sarang bonging.Saya tidak tahu apa itu bonging dalam bahasa melayu.Ini adalah nama yang sering kami gunakan.

Bonging adalah sejenis serangga yang agak besar seperti lebah (penyengat) cuma tidak mengeluarkan madu.Ia suka membuat sarang didalam batang pokok. Uniknya sarang ini tidak kelihatan dari luar.Apa yang kita nampak hanyalah satu lubang kecil cukup-cukup untuk seekor bonging keluar masuk.Biasanya kami akan mencucuk lubang ini dengan ranting kayu dan bonging itu akan mengeluarkan bunyi dengung yang kuat dan inilah yang dimaksudkan dengan 'radio'.

Melihat lubang itu fahamlah saya maksud Anang dan Amjah.Saya turun dari pokok lalu mengambil sebatang ranting kayu dan memberikannya kepada Ah Keong. "Nahh....ko ambil ni..ko panjat ni pokok.Ko nampak tu lubang kan? ko cucuk pakai ni ranting pas tu ko dengarlah....ada tu radio bebunyi..."

Kami bertiga lari beredar sementara Ah Keong terus duduk diatas pokok mendengar bunyi bonging.


Wednesday, September 9, 2009

Hari Raya di Tandek

Hi salam semua,

Salam ramadhan selamat berpuasa.Sekarang ini saya sedang duduk-duduk di taman mini depan rumah saya di Taman Indah Permai,Kota Kinabalu.Tapi suasananya tidaklah seindah dan sepermai mana.Bunyi kenderaan yang hingar bingar membingitkan telinga.Ini membuatkan saya rindu dengan kampung halaman - Tandek.

Damai sungguh suasana di Tandek.Waktu saya kecil-kecil dulu bila tiba bulan ramadhan saya sangat seronok.Apa tidaknya di bulan ini orang kampung akan bergilir-gilir menghantar moreh (juadah berbuka puasa) ke masjid.Biasanya ibu akan membuat kuih lepat pisang kesukaan saya. Tapi saya ni kira pelahap lah juga sebab semua yang ibu masak adalah kesukaan saya...hehehe.

Saya dan kakak saya Rohaya akan menghantar moreh ke masjid.Ibu akan meletakkan kuih lepat pisang tadi atas talam tembaga.Ibu saya ni satu hal juga, sudahlah talam tembaga tu berat, letak kuih banyak-banyak lagi lah berat.Adooiii makk....tak pa,buka puasa nanti aku bedal semua kuih ni.

Jarak antara rumah saya dengan masjid lebih kurang 1 batu.Dan sejauh itulah saya akan menjunjung kuih lepat pisang dalam talam tembaga itu di atas kepala saya....cubalah bayangkan betapa tercabarnya saya ketika itu.....sabar...sabar...sekejap lagi tiba waktu berbuka.

Tiba di masjid kuih saya serahkan kepada para petugas yang terdiri dari kaum ibu.Sementara menunggu waktu berbuka saya dan kakak akan keluar bermain dengan kawan-kawan di pekarangan masjid.Hmm...inilah budak,kalau dah nakal tu nakal juga...cubalah bawa mengaji kah...ini tidak ....

Asyik bermain hingga terlepas waktu,kuih kesukaan ? alaa...dapat sekerat ja...

Dihari yang lain,saya dan abang Anang serta sepupu-sepupu yang tinggal berjiran akan main di sungai.Alahai....mentang-mentanglah cuaca panas ditambah pula dengan berpuasa,sehari suntuk kami berendam dalam sungai.Ada pahala lagi kah puasa kami tu....? kwang 3x

Malam tujuh likur, kami pasang lilin untuk menggantikan pelita.Nak pasang lampu kelap kelip ? ish...mana ada bekalan elektrik masa tu.Abang Otok dan Pakcik Makibin pun mulalah sibuk mencari buluh dihutan.Nak buat apa...? apa lagi meriam buluh lah...kalau di Tandek orang panggil katub...hahaha.Seronok main katub ni tapi mesti hati-hati salah tembak diri sendiri yang terbakar.Pernah juga rambut dan bulu mata abang Otok terbakar gara-gara main katub ni...hehehe.Saya pula kalau pasang katub sengaja sumbat muncung katub dengan tin sardin.Bukan apa nak tengok kekuatan katub tu,boleh tak tembak tin tu jauh-jauh.Buat ujian senjata la tu...

Paling seronok bila tiba hari raya.Kami pakai baju raya sedondon dengan kain langsir wuakaka.....Biasanya untuk juadah hariraya ibu buat kuah kacang makan dengan ketupat.Bapa akan ambil pucuk kelapa di belakang rumah untuk dibuat kelongsong ketupat.Eeii...jangan tak tahu saya pandai menganyam ketupat...ketupat sate,ketupat jantung....

Kakak Rafeah akan buat biskut raya,kuih kering dan macam-macam lagi.Bentuk kuih dia ada yang bulat ada yang bujur,yang berpintal-pintal pun ada.Kira terer jugalah kakak aku ni buat kuih,oven dia oven kampung diperbuat daripada tin minyak masak... ciptaan bapak tu....ada api atas bawah ooo pakai sabut kelapa.Kuih dia sedap dan harum bukan macam kuih yang berlambak sekarang....rupa ja lain-lain tapi rasa sama saja.

Paling best bila bapa buat dodol labu....saya suka makan dodol labu yang masih panas-panas. Hmm...sekarang saja saya sudah ngiler....(ngiler ertinya terliur dalam bahasa jawa).Ini buat batal puasa ni.

Masa kecil-kecil dulu saya ni tomboy.Orang raya pakai baju kurung saya pakai baju melayu siap bersongkok lagi....lucu pula bila teringat....tapi yang seronoknya bila dapat duit raya saya sisip celah songkok.Dulu-dulu mana ada sampul...orang bagi duit raya 10 sen,20 sen itu dah kira lumayan dah....bukan duit raya jadi ukuran tapi keseronokan bersama keluarga dan rakan.

Akhir kata....selamat berpuasa....


Thursday, August 27, 2009

Selamat Bersungkai

Hi salam ramadhan untuk semua,

Sudah 6 hari kita umat islam berpuasa.Bila bercakap tentang puasa otomatik orang akan terfikir tentang juadah berbuka.Maklumlah lapar dan dahaga.Seolah-olah puasa ini hanya berkait tentang makanan dan minuman saja.Sedangkan konsep dan makna puasa sebenar jauh lebih mendalam. Tapi saya tidaklah mahu mengulas tentang ini kerana saya bukan pakar agama.

Apa yang ingin saya kongsi disini adalah kenangan manis sewaktu saya kecil di kampung Tandek. Setiap menjelang ramadhan kami sekeluarga akan berpuasa.Adik beradik saya ramai 14 orang apa lagi hari-hari macam hari raya riuh-rendah,hingar- bingar sebutlah apa-apa lagi.....memang itulah kami Keluarga Bahagia.

Pertama kali puasa abang saya Otok yang memang suka menyakat kenakan saya.Katanya kalau budak-budak yang baru belajar puasa boleh minum dan puasa tidak batal.Tapi dengan satu syarat minum air paip sahaja.Saya yang masih belum mengerti ikut saja dan tanpa berfikir panjang terus minum air paip didapur.Hahaha.Bapa hanya mampu beristighfar bila melihat kenakalan Otok dan kealpaan saya.

Dulu-dulu untuk berbuka juadahnya tidak semewah orang sekarang.Hari ini bazar ramadhan ada dimana-mana.Berbagai jenis makanan dan minuman ada dijual pilih saja mana mau.Kami dulu buka puasa paling hebat pun bubur kacang hijau.Kalau kebetulan ada jagung yang mama tanam dikebun,mama buat bubur jagung.Sekali sekala bapa beli spaghetti untuk dijadikan bubur mi.Pernah makan bubur mi? Sedap tau tapi kena pakai spaghetti bukan mi kuning yang ada di pasar tu.

Di Pekan Tandek tahun 60an,kedai runcit si Kim Siew ada jual spaghetti,boleh beli sikit-sikit boleh beli banyak-banyak kalau cukup duit.Tapi biasanya kami beli sekitar harga 20 sen saja itupun sudah cukup untuk satu hidangan bubur mi yang enak.Kalau kebetulan musim buah dan si Saibon Abpalan ada masuk hutan ambil buah ratu dan sukang (durian kampung) tambah sedap lagi lah bubur mi itu sebab ada durian.Hmm....meleleh liur aku.

Biasanya setiap petang bapa akan memetik buah kelapa muda untuk dijadikan minuman waktu berbuka.Tugas saya ialah mengisi air kelapa kedalam jug dan mengorek isi kelapa muda untuk digaulkan bersama airnya.Air kelapa muda ini sebenarnya banyak khasiat.Ia dapat meneutralkan toksik yang ada didalam badan kita tapi mesti air kelapa muda yang asli bukan air kelapa yang sudah diinjek dengan air gula untuk menambah manisnya.

Kadang-kadang mama buat kuih.Biasanya pais pisang dan kalau ada jagung mama buat pais jagung.Kalau saya rajin parut ubi kayu mama akan buatkan pais ubi kayu.Tapi yang paling saya suka ialah lempeng sagu.Kata pakcik Awang lempeng sagu ini nama sebenarnya ialah ambulung sepupu sekali ambuyat lah tu kan? sebab kedua-duanya diperbuat daripada sagu rumbia.Saya suka makan ambuyat cecah kuah ikan basung masak ampap.Kalau ambulung saya makan begitu saja.

Makanan kami dulu-dulu ringkas saja tapi sehingga menjilat jari.Hmm....rindu ikan ampap masakan mama.


Ya Allah,engkau tempatkanlah roh kedua ibu bapa ku bersama para solihin.Amin



Saturday, May 9, 2009

SELAMAT HARI IBU

Hi salam sahabat untuk semua dan Selamat Hari Ibu untuk semua ibu-ibu diluar sana.

Ibu...ibu...engkaulah ratu hati ku
Bila ku berduka
Engkau hiburkan selalu

Ibu...ibu...engkaulah ratu hati ku
Tempat ku menyerah kasih
Tiap waktu

Betapa tidak....hanya engkaulah
Yang menerangi hidupku
Sepanjang masa dikau berkorban
Tidak putusnya
Bagai air laut

Ibu...ibu...engkaulah ratu hatiku
Kau tak dapat lupakan
Wahai ibu

Senikata lagu allahyarham Tan Sri P Ramlee diatas memang tepat sekali.Ibu adalah segala-galanya bagi setiap dari kita.Tanpa ibu tidak mungkin kita berada dimana kita berada sekarang.

Kata orang satu ibu mampu menjaga sepuluh anak tetapi sepuluh anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu.Sebagai anak ayuh kita buktikan bahawa kata-kata itu tidak benar dan bahawa kita juga mampu menjaga ibu dengan baik.

Pertama kali saya berpisah dengan ibu sewaktu umur saya 14 tahun.Oleh kerana di Tandek belum ada sekolah menengah dan SMK Kota Marudu pula belum ada bangunan sendiri dan kelas yang ada hanya sampai tingkatan 3; maka bapa memindahkan saya bersekolah di SMK Likas,Kota Kinabalu.

Saya sangat sedih,saya tidak mahu pindah.Berbagai alasan saya beri....tiada tolong mama jaga tu sapi..., tiada tolong mama pigi sawah...,tiada tolong mama belah kelapa.... semua alasan-alasan ini ditolak mentah-mentah oleh bapa.Sia-sia saja bapa beli rumah di KK baru kamu nda mau pigi sekolah sana...kata bapa dalam nada seperti merajuk tetapi dalam masa yang sama memberi perintah.

Maka berangkatlah saya ke Kota Kinabalu dengan membawa sebuah beg pakaian yang dibuat daripada kayu dan dilapis plastik bunga-bunga....menumpang kereta si Ah Mong.Tiba di Kota Kinabalu,kakak AragangTandik sedang menunggu dan menyambut ketibaan saya dengan tersenyum gembira....tapi saya senyum terpaksa.Hati saya bagai dikuyak-kuyak.

Malam menjelang tiba....adduuuyaaiiii.....bukan lagi kuyak-kuyak hati saya tetapi sudah sampai peringkat hancur lebur.Kakak masak untuk kami makan malam,saya langsung tidak membantu tiada mood.Kata kakak marilah makan.....

Saya datang ke meja makan dan pelbagai lauk pauk yang enak terhidang.Dalam hati saya bertanya-tanya....apa diorang mama buat sekarang di Tandek....makan kah diorang tu sekarang....makan apa diorang tu disana....Tiba-tiba airmata saya mengalir,selera tertutup.Saya langsung tidak boleh makan.Saya hanya menangis dan terus menangis.

Saya rindu ibu....saya rindu bapa...saya rindu adik-adik di rumah.Saya rindu suara ibu yang marah-marah sayang itu.Dunia terasa sunyi sekali tanpa mendengar suara ibu yang orongit itu muputok marah.Selama seminggu saya tidak lalu makan.Setiap kali melihat makanan terhidang saya pasti teringatkan ibu bapa dan adik-adik di Tandek dan akhirnya.......jeng jeng jeng...... saya telah dimasukkan ke hospital unit kecemasan kerana mengalami gastrik yang sangat teruk....

Namun dalam keadaan saya terbaring lesu dan kesakitan kakak saya si Datin sempat lagi mengusik ...aikk untung kau oo....ada James Wong tu nah di katil sebelah kau. Kena gantung dia punya kaki....Hehehe kakak saya si Datin ini memang lucu, ada-ada saja dia punya cerita.Apa lagi diwaktu peristiwa ini terjadi (sekitar tahun 1977) James Wong sangat terkenal dan kakak saya ini pun kaki bola juga.Maka sambil menjaga saya dia mengambil kesempatan juga menjenguk-jenguk idola bola sepak Sabah - James Wong.

Selamat Hari Ibu......


Friday, April 24, 2009

Wanita paling istimewa bagiku - Ondiun Unggut

Hi salam sahabat,

Ondiun Unggut itulah nama ibu saya atau nama Islamnya Hajah Fatimah Unggut.Ibu saya seorang yang tegas dan sentiasa berpandangan jauh.Namun dalam ketegasan dia sebenarnya seorang insan penyayang dan lemah lembut.Begitu menghormati orang lain tidak kira bangsa agama pangkat dan keturunan.

Ibu tidak pernah bersekolah tetapi dia bijak.Kata ibu arwah datuk Unggut tidak benarkan dia bersekolah tidak seperti abangnya Haji Baudi dan adik lelakinya Haji Madinah yang bukan saja berkesempatan belajar malah mampu meraih jawatan tinggi dalam kerajaan sehingga menjadi wakil rakyat.

Ibu berkahwin dengan arwah bapa Hj Kee Abdul Jalil pada usia yang sangat muda.Ini semua diatur oleh arwah datuk Unggut.Orang dulu-dulu tiada cinta-cinta dating-dating macam sekarang.Sebagai anak mesti menurut perintah.

Kebetulan pula arwah datuk Unggut sangat menyenangi arwah bapa,maka datuk mengambil beliau sebagai menantu.Kata ibu,arwah bapa selalu datang kerumah datuk Unggut kerana bapa tua saya Hj Baudi bukan saja menjadi anak murid bapa tetapi lebih kepada seorang kawan rapat.

Setiap kali bapa datang,datuk Unggut akan memerintahkan ibu untuk menghidangkan air kelapa segar kepada bapa.Air kelapa segar ini betul-betul segar,mana tidaknya setiap kali bapa sampai,datuk akan suruh ibu panjat sendiri dan petik buah kelapa tersebut dan menghidangnya kepada bapa.Cubalah bayangkan....mama sia kana suruh panjat kalapa ba oleh si aki unggut....,dapan-dapan bapa sia lagi tu.Macamana lagi bapa sia tidak jatuh cinta....aduuuyaii.Kalau sikarang kamurang sanggupkah buat begitu?

Arwah ibu saya ini terkenal juga sebagai seorang yang bengis dan garang.Tapi garang dan bengis beliau itu bersebab dan lebih banyak didorong oleh perasaan sayang.Pernah satu hari saya dalam perjalanan kesekolah,seorang lelaki yang saya tidak kenal menegur saya.... "Aii, kau anak si Ondiun ka?". Saya jawab " Ya,napa?".Lelaki itu menjawab " Kau tau ka mama kau itu Orongit,siapa lagi yang paling garang di Tandek ini kalau bukan mama kau"."Ya tau,tapi dia hebat" kata saya.

Ibu memang Orongit saya akui itu.Dari kecil saya sudah terbiasa dengan rutin harian ibu. Seawal jam 5 pagi dia sudah turun ketanah melihat tanaman di sekitar kawasan rumah dan dari tanah dia akan mengejutkan kami dari tidur."Bangunlah kamu semua,hantar kamu ini sayur tampat si Anggi sama ini telur tampat si Ah Vui,bangunlah tinggi hari sudah ini".Inilah wake-up call kami.

Jam 6 pagi bagi ibu sudah tinggi hari.Sebenarnya bangun awal dan rajin bekerja bukan saja amalan ibu tetapi amalan orang-orang dusun kimaragang secara amnya.Dan pendapat saya inilah yang dimaksudkan oleh orang-orang tua kaum kimaragang dulu-dulu dengan seloka ini "Pigi karja jangan kana matahari,makan puas-puas,tidur puas-puas".Maksudnya kita kena bangun awal turun ke bendang sebelum matahari terbit.Setelah seharian letih bekerja maka berehatlah dan makanlah sepuasnya dan tidurlah sepuasnya.Esok pagi bangun awal untuk bekerja dan begitulah seterusnya.Dan inilah yang ingin diterapkan oleh ibu pada kami.

Ibu banyak berkorban untuk kami.Memandangkan kami adik-beradik ada 14 orang maka setiap kali makan ibu menyuruh bapa menemani kami makan sedangkan beliau hanya duduk minum kopi o.Tujuannya adalah untuk mempastikan kami makan sepuasnya sementara beliau hanya makan apa yang tersisa oleh kami.Begitulah ibu sanggup berkorban untuk 14 anak tetapi 14 anak belum tentu sanggup berkorban untuk seorang ibu.

Ibu banyak mengajar kualiti hidup yang baik kepada kami.Walaupun dia Orongit dia tidak pernah mengambil tindakan terburu-buru.Bukan macam sia kuat mangamuk hehehe.... bukan apa ba itu darah Panglima Tumunda masih kuat dalam badan sia.Pernah satu hari mendiang nenek marah-marah kerana ubi dan lain-lain tanaman beliau dicuri orang. Apalagi saya dan Anang pun secara suka rela menjadi hero kampung mengintai siapakah pencuri itu.

Tanpa disuruh kami bertindak sendiri mengikut instinct kami.Maka sengsaralah dua budak yang mencuri tadi kami kerjakan.Kebetulan ibu datang dan meleraikan pergaduhan yang tercetus antara kami dan dua budak tadi. "sudah...sudah...kenapa kamu pukul anak urang...jangan kamu begitu." kata ibu sambil menarik saya dan Anang manakala mendiang nenek hanya melihat dari jauh.

" kamu ni anak siapa? kenapa kamu mencuri? nahh...kamu ambillah semua ini kamu bawa pulang.lain kali kamu jangan lagi mencuri aahh" kata ibu sambil menghulurkan ubi dan sayur-sayuran yang dipetik oleh dua orang budak tadi.Saya dan Anang ternganga melihat tindakan ibu." mak mak inda adil mak,diorang tu mencuri napa mama kasi itu ubi sama diorang.Dulu kami ambil jambu si Awang Ali bapa marah kami dia suruh kami kasi lakat balik tu buah dipokok.Ini diorang mencuri mama kasi la pula,inda adil mak inda adil" kami menyuarakan bantahan.

"Bukan begitu,kita perlu mengajar diorang supaya diorang inda lagi mencuri bukannya menumbuk memukul macam kamu buat tu" kata ibu.Nak tahu apa tindakan ibu seterusnya?

Hmm....mama sia pigi jumpa ketua kampung tempat itu budak-budak tinggal dan kasi cadangan supaya orang-orang kampung sana bercucuk tanam. Memang pada mulanya mereka ini tidak ada kemahiran bercucuk tanam kerana kemahiran serta punca pendapatan mereka adalah sebagai nelayan tetapi berkat usaha ketua kampung dan dibantu oleh ibu mereka kini pandai berkebun dan tidak perlu mengambil tanaman orang lagi.

Itulah ibu saya Ondiun Unggut,walaupun tidak pernah sekolah beliau sentiasa membantu mengajar dan menyedarkan sesiapa sahaja peri pentingnya hidup mandiri dan self sufficient.
Al Fatihah buat ibu tersayang......

Monday, April 20, 2009

My beloved aunty - Babu Rukinah

Hi salam sahabat untuk semua,

Kalau di entri yang lalu saya bercerita tentang mendiang nenek Oriyim,hari ini saya hendak bercerita tentang seorang lagi wanita istimewa dalam hidup saya iaitu allahyarhamah Babu Rukinah @ Halimah - adik bongsu almarhum ibu saya.Adik beradik kandung ibu saya hanya empat orang (seibu sebapa) manakala yang selebihnya adalah adik beradik tiri sama ada seibu atau sebapa.Tetapi hubungan mereka semua rapat seperti adik beradik kandung.

Apa istimewanya Babu Rukinah ini?

Semasa muda arwah babu ni sangat cantik.Kecantikannya begitu asli tanpa perlu sebarang alat solek.Arwah babu juga sangat penyayang.Walaupun dia tidak dikurniakan anak tetapi hidupnya tidak sunyi kerana kesemua anak-anak buahnya rapat dan manja padanya.

Arwah babu juga sangat rajin.Kalau nenek Oriyim menenun sendiri kain untuk beliau jadikan pakaian,arwah babu juga tidak kurang hebatnya.Dia pandai menjahit pakaian dan mereka bentuk berbagai jenis fesyen yang cukup up to date.

Arwah babu juga sangat pandai memasak dan masakan kegemaran saya dan semua anak-anak buahnya termasuk Sangguru tentulah tidak lain tidak bukan " ayam masak kicap ".Sampai terliur-liur saya menaip sekarang ini teringat masakan arwah.Dia juga sangat mahir membuat kuih-muih.Pelbagai jenis kuih selalu beliau sediakan seperti wajik,kuih lenggang,pulut tetal, apam dan banyak lagi.

Mungkin ramai yang tidak tahu dulu-dulu di tahun 60an arwah Babu Rukinah berniaga menjual soto dan kuih-muih di warung pekan Tandek.Saya dan Anang selalu ikut bermalam di warung terutama sekali hari minggu malam isnin kerana esoknya (hari isnin) adalah hari tamu.Orang ramai akan berkumpul beramai-ramai membawa bermacam-macam jualan daripada buah-buahan hinggalah barangan kraftangan seperti takiding dan lampit.

Ada juga yang datang semata-mata untuk berjudi (satu tabiat yang nampaknya sangat sukar untuk dihapuskan).Sabung ayam,katam-katam,macam-macam jenis judi ada.Malangnya suami arwah babu (pakcik Awang) pun terlibat sama dan ini membuat babu sangat marah.

Satu hari saya dan Anang telah diberi tugas-tugas khas oleh arwah babu.Tugas khas itu ialah mengintip kemana pakcik Awang pergi dan apa dia buat.....jeng jeng jennnggg......Kami dengan bangganya menurut perintah dan sedia berkhidmat.Perlahan-lahan kami mengikuti pakcik Awang dari belakang.Kami pastikan beliau tidak menyedari kehadiran kami.Kik kik kik.....

Tiba di satu spot yang agak terlindung dari pandangan mata Babu Rukinah,Pakcik Awang pun membentangkan sehelai kertas yang terdapat macam-macam gambar.Orang ramai mula berkerumun didepan beliau.Sambil pakcik Awang membaling dadu orang ramai menikam gambar-gambar pilihan.Saya tidak berapa faham cara perjudian itu cuma apa yang saya nampak pakcik Awang memungut semua wang yang dipasang oleh orang yang turut serta dan memasukkan wang tersebut kedalam sebuah tin kosong.

Saya dan Anang terus berdiri di belakang pakcik Awang tanpa beliau sedar.Jarak antara kami dan pakcik Awang hanya dipisahkan oleh sebatang tiang dimana beliau bersandar.Sepertimana yang telah diarahkan setiap kali pakcik Awang mengutip wang dan memasukkan kedalam tin maka setiap kali itu juga saya dan Anang mengambil wang tersebut perlahan-lahan ...... hahaha dengan kata lain kami pi curi duit dia hehehe......

Malang tidak berbau, salah seorang peserta acara judi itu ternampak saya dan Anang mengambil wang dari dalam tin tersebut lalu melaporkan kepada pakcik Awang.Dalam keadaan panik saya dan Anang membawa lari semua wang kutipan pakcik Awang.Tapi memandangkan kami adalah spy upahan yang terlatih, kami tidak membawa wang itu kepada babu.Kami berlari ketempat lain,Kononnya supaya babu terlepas dari tuduhan bersubahat dengan kami.Kerana sayangkan Babu Rukinah kami rela menjadi kambing hitam.

Kami bersembunyi dibelakang gerai tempat orang menjual buah-buahan.Sambil bersembunyi dan menunggu kemarahan pakcik Awang reda sempat juga kami mengambil beberapa biji langsat milik orang.Addehhh.....mencuri la pula.

Kami hanya keluar dari persembunyian bila tuan punya langsat sedar yang kami telah mengambil beberapa biji langsat dari takiding dan memarahi kami.Diluar tidak kedengaran lagi suara pakcik Awang yang marah-marah malah kelibatnya juga tidak kelihatan.Kemana agaknya dia......?

Dengan gembiranya kami menyerahkan semua wang yang kami ambil tadi kepada Babu Rukinah dan ganjarannya tentulah secawan kopi dan sebiji kuih apam.Hmm....sedappppp.....

Sedang kami enak menikmati juadah hasil jerih payah kami menjadi spy tiba-tiba kami di kejutkan oleh suara bapa "Pulang....ini pula kerja kamu ikut-ikut sini.kecil-kecil sudah belajar jadi pencuri.Mulai sekarang kamu tidak boleh lagi ikut tidur di warung dan tidak boleh jalan kemana-mana kecuali sama bapa".Rupa-rupanya pakcik Awang telah melaporkan kejadian tadi kepada bapa.Patutlah beliau marah sakan.

Dengan lemah longlai kami ikut bapa pulang.Jauh disudut hati kami sedih dan risau takut tidak dapat bersama-sama dan bermanja dengan Babu Rukinah.Ternyata babu juga sama.Dia menutup gerainya dan menetap di rumah.Masanya lebih banyak dihabiskan melayan kerenah kami yang nakal dan manja.Pakcik Awang juga begitu tidak pernah jenuh melayan kenakalan kami terutama sekali saya yang terlalu manja kepada kedua-dua mereka.

Semasa bapa menyambung pelajarannya di Australia,mereka lah yang banyak membantu ibu menjaga kami.Pakcik Awang lah yang sibuk menggendong saya kesana kemari.Maklumlah saya sangat manja pada bapa dan setiap hari saya memanggilnya pulang.Kerana terlalu rindukan bapa maka setiap hari saya duduk di tangga menunggu kapal terbang limpas dan memanggil "Pakk...turunlaaahhhh....".Pakcik Awang lah yang akan memujuk saya.

Begitu juga sewaktu ibu dan bapa menunaikan haji di Mekah, mereka lah yang menjaga dan merawat kami disamping pakcik-makcik dan bapa tua Hj Baudi Unggut.Terkenal dengan sifat manja saya,bapa tua mempastikan semua anggota keluarga memberi perhatian pada saya." Jangan kamu kasi susah-susah hatinya,dia itu kalau tiga hari inda nampak bapaknya pandai sakit itu....". Lucu tapi itulah keluarga kesayangan saya - Keluarga Unggut yang sentiasa mengambil berat kebajikan keluarga.

Semoga roh mereka semua dicucuri rahmat.Al Fatihah.

Wednesday, April 8, 2009

Wanita-wanita istimewa dalam hidup ku

Hi salam semua,

Lama betul sia kasi tinggal ini blog,bukan apa....sia talampau sibuk bah.Macam-macam masalah timbul.Belum selesai satu datang lagi satu.Nasip lagi sia ni kira Taiko juga lah...... (addeehh...puji diri sendiri pula ni).....dapat juga sia kasi salasai lah satu persatu.Alhamdulillah.

Hampir setiap hari saya melihat wajah-wajah istimewa ini didepan mata,raut wajah,renungan mata mereka sentiasa terbayang dan terpahat teguh diminda saya.Lebih-lebih lagi bila saya ada masalah, bayangan wajah-wajah mereka memberi kekuatan semangat kepada saya kerana mereka adalah wanita-wanita gigih yang pernah saya kenali.Siapa kah mereka yang istimewa ini?

Wanita- wanita istimewa yang saya maksudkan adalah almarhum ibu saya Hajah Fatimah Unggut dan mendiang nenek Oriyim (Emak kepada almarhum ibu) serta almarhum Babu Rukinah @ Halimah (adik kepada almarhum ibu).Nenek Oriyim tidak berkesempatan untuk memeluk agama Islam walaupun almarhum bapa tidak putus-putus memujuk dan berdakwah bukan saja pada nenek tetapi semua ahli keluarga yang masih pagan.

Apa istimewanya mendiang nenek Oriyim dimata saya?

Saya hanya berkesempatan mengenali nenek dan tinggal berjiran dengannya selama lebih kurang 4-5 tahun saja.Tahun 1966 bapa membuat keputusan untuk menetap di Tandek setelah sekian lama berpindah-randah kerana desakan tugas sebagai guru sekolah.Waktu itu saya masih terlalu muda masih kanak-kanak dan belum mengerti tentang perbezaan pegangan agama.

Bapa membina rumah untuk kami tinggal di tanah ladang yang baru dibuka, manakala nenek Oriyim pula tinggal di tanah ladangnya sendiri di seberang sungai berhadapan dengan rumah kami.Waktu itu belum ada jambatan gantung untuk menghubungkan kami dengan nenek di seberang.Untuk ke seberang kami menyusuri sungai ketika air surut.

Satu hari ibu mengajak saya dan Anang ke rumah nenek. Dengan gembiranya kami ikut menyusuri sungai sambil mengutip siput Tuntul dan Kayakau yang banyak terdampar di pasir di dasar sungai.Kebersihan dan kejernihan air sungai Tandek ketika itu memberi peluang kepada pelbagai hidupan air untuk hidup disitu dan menjadi sumber makanan orang kampung.

Tiba di rumah nenek saya melihat ibu dan nenek mesra berbual-bual.Saya dan Anang hanya duduk diam mendengar perbualan mereka yang langsung kami tidak faham kerana mereka berbahasa kimaragang.Bosan..saya dan Anang meronda ke seluruh pelusuk rumah nenek. Setiap bilik dalam rumah itu kami buka.Bilik 1....wowww....harta karun....kata Anang.

Kami tergamam melihat banyaknya koleksi barangan yang diperbuat daripada tembaga didalam bilik itu.Cerek,periuk,talam,gong dan macam-macam lagi peralatan tembaga yang berukir indah.Saya cuba menghitung tapi tidak terdaya...terlalu banyak.Orang-orang Dusun Kimaragang memang banyak menyimpan barangan tembaga seperti ini yang di panggil Gadur dan Sumbul serta Tagung dan Kulintangan.

"Jangan kamu membungkar sanaa....." emak memberi amaran.Saya dan Anang keluar dan masuk pula ke dalam dapur.Kami meninjau-ninjau kalau-kalau ada makanan yang boleh kami makan.Tiba-tiba nenek pula bersuara.." jangan kamu makan apa-apa disana.kamu nda boleh makan sini ".Nenek berkata sesuatu pada ibu dan menyuruh kami pulang.

" Apa lah nenek tu...lokek...belum pun kita makan sudah bising marah...." kata Anang dan saya mengiyakan saja.Memang pada dasarnya nenek kelihatan sangat bengis,garang dan selalu saja marah bila melihat saya dan Anang datang kerumahnya.Tetapi di waktu-waktu lain dia begitu baik malah bersusah payah menghantar buah-buahan yang beliau petik dari kebunnya ke rumah kami.

Satu pagi,saya dan Anang berjalan berdua saja ke rumah nenek.Kebetulan di rumah nenek ramai keluarga berkumpul.Nenek menyediakan sarapan pagi yang begitu enak kelihatannya. Bila melihat saya dan Anang datang nenek pun mula marah-marah " Apa kamu bikin sini awal pagi ini....Omboh,Juali....kamu ingat ah...jangan kamu pandai-pandai kasi makan ini anak cikgu ini.Nda boleh diorang makan sini".

Nenek berlalu masuk ke dalam bilik sementara saya dan Anang hanya berdiri dipintu dapur. Bila kelibat nenek sudah tidak kelihatan makcik Omboh dan pakcik Juali memanggil kami masuk...."kamu mau makan?" Tanya makcik Omboh. "Mau". Saya dan Anang serentak menjawap.Makcik Omboh pun menghidang bihun goreng yang dimasak oleh nenek kepada kami.

Sedang kami enak makan tiba-tiba nenek muncul dan dengan kuatnya bertempik memarahi kami semua.Makcik Omboh dan Pakcik Juali kehairanan.Nenek Oriyim memulas telinga saya dan Anang dan menarik kami keluar ke kaki lima dapur dan memerintahkan kami muntah.

" Kaamu lah budak nda pandai mandangar di kasitau.Kamu muntah itu...muntah.Kasi muntah aku bilang...muntah.Kasi kurik itu leher kamu kasi muntah semua itu makanan." Nenek begitu marah sekali.Dia kemudian menjerit-jerit memanggil ibu di seberang.Bila ibu datang nenek terus memarahi ibu.

" Jangan lagi kau biar anak-anak kau datang sini.Kau lah ini kasi biasa-biasa diorang jalan sini.Kamu nda boleh sudah datang sini....kamu sudah lain.Nda sama sudah kamu sama kami. Kau jaga itu anak-anak kamu jangan diorang ikut-ikut kami makan". Panjang lebar nenek berceramah.Ibu hanya mendiamkan diri dan membawa kami pulang.

Dirumah saya dan Anang mula melemparkan soalan-soalan bonus kepada ibu dan bapa... " kenapa bah nenek tu jahat,kenapa bah nenek tu lokek,nenek nda suka mama kah,kenapa nenek nda suruh kita pigi rumah dia....bla...bla...bla...". Bertubi-tubi kami menyoal ibu dan bapa.

"Bukan begitu...nenek tidak jahat,nenek tidak lokek.Nenek sayang kamu sebab itu dia larang kamu makan di rumah dia.Kita Islam...nenek pagan (tiada agama).Kita tidak boleh makan apa yang nenek makan".Bapa memberi penerangan kepada kami.Barulah kami faham rupa-rupanya ketika itu hanya kami dan keluarga Babu Rukinah @ Halimah sahaja yang beragama Islam sedangkan ahli keluarga yang lain masih pagan.

Nenek Oriyim walaupun tidak berkesempatan memeluk agama Islam, beliau begitu mengambil berat kebajikan kami cucu-cucunya dan menjaga agar kami tidak termakan apa yang diharamkan dalam Islam.Beliau cukup memahami dan menghormati pegangan agama ibu dan bapa.Beliau tidak sekalipun memperlekeh pegangan agama kami.

Itulah istimewanya nenek Oriyim...tegas, gigih dan berani.