Friday, April 24, 2009

Wanita paling istimewa bagiku - Ondiun Unggut

Hi salam sahabat,

Ondiun Unggut itulah nama ibu saya atau nama Islamnya Hajah Fatimah Unggut.Ibu saya seorang yang tegas dan sentiasa berpandangan jauh.Namun dalam ketegasan dia sebenarnya seorang insan penyayang dan lemah lembut.Begitu menghormati orang lain tidak kira bangsa agama pangkat dan keturunan.

Ibu tidak pernah bersekolah tetapi dia bijak.Kata ibu arwah datuk Unggut tidak benarkan dia bersekolah tidak seperti abangnya Haji Baudi dan adik lelakinya Haji Madinah yang bukan saja berkesempatan belajar malah mampu meraih jawatan tinggi dalam kerajaan sehingga menjadi wakil rakyat.

Ibu berkahwin dengan arwah bapa Hj Kee Abdul Jalil pada usia yang sangat muda.Ini semua diatur oleh arwah datuk Unggut.Orang dulu-dulu tiada cinta-cinta dating-dating macam sekarang.Sebagai anak mesti menurut perintah.

Kebetulan pula arwah datuk Unggut sangat menyenangi arwah bapa,maka datuk mengambil beliau sebagai menantu.Kata ibu,arwah bapa selalu datang kerumah datuk Unggut kerana bapa tua saya Hj Baudi bukan saja menjadi anak murid bapa tetapi lebih kepada seorang kawan rapat.

Setiap kali bapa datang,datuk Unggut akan memerintahkan ibu untuk menghidangkan air kelapa segar kepada bapa.Air kelapa segar ini betul-betul segar,mana tidaknya setiap kali bapa sampai,datuk akan suruh ibu panjat sendiri dan petik buah kelapa tersebut dan menghidangnya kepada bapa.Cubalah bayangkan....mama sia kana suruh panjat kalapa ba oleh si aki unggut....,dapan-dapan bapa sia lagi tu.Macamana lagi bapa sia tidak jatuh cinta....aduuuyaii.Kalau sikarang kamurang sanggupkah buat begitu?

Arwah ibu saya ini terkenal juga sebagai seorang yang bengis dan garang.Tapi garang dan bengis beliau itu bersebab dan lebih banyak didorong oleh perasaan sayang.Pernah satu hari saya dalam perjalanan kesekolah,seorang lelaki yang saya tidak kenal menegur saya.... "Aii, kau anak si Ondiun ka?". Saya jawab " Ya,napa?".Lelaki itu menjawab " Kau tau ka mama kau itu Orongit,siapa lagi yang paling garang di Tandek ini kalau bukan mama kau"."Ya tau,tapi dia hebat" kata saya.

Ibu memang Orongit saya akui itu.Dari kecil saya sudah terbiasa dengan rutin harian ibu. Seawal jam 5 pagi dia sudah turun ketanah melihat tanaman di sekitar kawasan rumah dan dari tanah dia akan mengejutkan kami dari tidur."Bangunlah kamu semua,hantar kamu ini sayur tampat si Anggi sama ini telur tampat si Ah Vui,bangunlah tinggi hari sudah ini".Inilah wake-up call kami.

Jam 6 pagi bagi ibu sudah tinggi hari.Sebenarnya bangun awal dan rajin bekerja bukan saja amalan ibu tetapi amalan orang-orang dusun kimaragang secara amnya.Dan pendapat saya inilah yang dimaksudkan oleh orang-orang tua kaum kimaragang dulu-dulu dengan seloka ini "Pigi karja jangan kana matahari,makan puas-puas,tidur puas-puas".Maksudnya kita kena bangun awal turun ke bendang sebelum matahari terbit.Setelah seharian letih bekerja maka berehatlah dan makanlah sepuasnya dan tidurlah sepuasnya.Esok pagi bangun awal untuk bekerja dan begitulah seterusnya.Dan inilah yang ingin diterapkan oleh ibu pada kami.

Ibu banyak berkorban untuk kami.Memandangkan kami adik-beradik ada 14 orang maka setiap kali makan ibu menyuruh bapa menemani kami makan sedangkan beliau hanya duduk minum kopi o.Tujuannya adalah untuk mempastikan kami makan sepuasnya sementara beliau hanya makan apa yang tersisa oleh kami.Begitulah ibu sanggup berkorban untuk 14 anak tetapi 14 anak belum tentu sanggup berkorban untuk seorang ibu.

Ibu banyak mengajar kualiti hidup yang baik kepada kami.Walaupun dia Orongit dia tidak pernah mengambil tindakan terburu-buru.Bukan macam sia kuat mangamuk hehehe.... bukan apa ba itu darah Panglima Tumunda masih kuat dalam badan sia.Pernah satu hari mendiang nenek marah-marah kerana ubi dan lain-lain tanaman beliau dicuri orang. Apalagi saya dan Anang pun secara suka rela menjadi hero kampung mengintai siapakah pencuri itu.

Tanpa disuruh kami bertindak sendiri mengikut instinct kami.Maka sengsaralah dua budak yang mencuri tadi kami kerjakan.Kebetulan ibu datang dan meleraikan pergaduhan yang tercetus antara kami dan dua budak tadi. "sudah...sudah...kenapa kamu pukul anak urang...jangan kamu begitu." kata ibu sambil menarik saya dan Anang manakala mendiang nenek hanya melihat dari jauh.

" kamu ni anak siapa? kenapa kamu mencuri? nahh...kamu ambillah semua ini kamu bawa pulang.lain kali kamu jangan lagi mencuri aahh" kata ibu sambil menghulurkan ubi dan sayur-sayuran yang dipetik oleh dua orang budak tadi.Saya dan Anang ternganga melihat tindakan ibu." mak mak inda adil mak,diorang tu mencuri napa mama kasi itu ubi sama diorang.Dulu kami ambil jambu si Awang Ali bapa marah kami dia suruh kami kasi lakat balik tu buah dipokok.Ini diorang mencuri mama kasi la pula,inda adil mak inda adil" kami menyuarakan bantahan.

"Bukan begitu,kita perlu mengajar diorang supaya diorang inda lagi mencuri bukannya menumbuk memukul macam kamu buat tu" kata ibu.Nak tahu apa tindakan ibu seterusnya?

Hmm....mama sia pigi jumpa ketua kampung tempat itu budak-budak tinggal dan kasi cadangan supaya orang-orang kampung sana bercucuk tanam. Memang pada mulanya mereka ini tidak ada kemahiran bercucuk tanam kerana kemahiran serta punca pendapatan mereka adalah sebagai nelayan tetapi berkat usaha ketua kampung dan dibantu oleh ibu mereka kini pandai berkebun dan tidak perlu mengambil tanaman orang lagi.

Itulah ibu saya Ondiun Unggut,walaupun tidak pernah sekolah beliau sentiasa membantu mengajar dan menyedarkan sesiapa sahaja peri pentingnya hidup mandiri dan self sufficient.
Al Fatihah buat ibu tersayang......

Monday, April 20, 2009

My beloved aunty - Babu Rukinah

Hi salam sahabat untuk semua,

Kalau di entri yang lalu saya bercerita tentang mendiang nenek Oriyim,hari ini saya hendak bercerita tentang seorang lagi wanita istimewa dalam hidup saya iaitu allahyarhamah Babu Rukinah @ Halimah - adik bongsu almarhum ibu saya.Adik beradik kandung ibu saya hanya empat orang (seibu sebapa) manakala yang selebihnya adalah adik beradik tiri sama ada seibu atau sebapa.Tetapi hubungan mereka semua rapat seperti adik beradik kandung.

Apa istimewanya Babu Rukinah ini?

Semasa muda arwah babu ni sangat cantik.Kecantikannya begitu asli tanpa perlu sebarang alat solek.Arwah babu juga sangat penyayang.Walaupun dia tidak dikurniakan anak tetapi hidupnya tidak sunyi kerana kesemua anak-anak buahnya rapat dan manja padanya.

Arwah babu juga sangat rajin.Kalau nenek Oriyim menenun sendiri kain untuk beliau jadikan pakaian,arwah babu juga tidak kurang hebatnya.Dia pandai menjahit pakaian dan mereka bentuk berbagai jenis fesyen yang cukup up to date.

Arwah babu juga sangat pandai memasak dan masakan kegemaran saya dan semua anak-anak buahnya termasuk Sangguru tentulah tidak lain tidak bukan " ayam masak kicap ".Sampai terliur-liur saya menaip sekarang ini teringat masakan arwah.Dia juga sangat mahir membuat kuih-muih.Pelbagai jenis kuih selalu beliau sediakan seperti wajik,kuih lenggang,pulut tetal, apam dan banyak lagi.

Mungkin ramai yang tidak tahu dulu-dulu di tahun 60an arwah Babu Rukinah berniaga menjual soto dan kuih-muih di warung pekan Tandek.Saya dan Anang selalu ikut bermalam di warung terutama sekali hari minggu malam isnin kerana esoknya (hari isnin) adalah hari tamu.Orang ramai akan berkumpul beramai-ramai membawa bermacam-macam jualan daripada buah-buahan hinggalah barangan kraftangan seperti takiding dan lampit.

Ada juga yang datang semata-mata untuk berjudi (satu tabiat yang nampaknya sangat sukar untuk dihapuskan).Sabung ayam,katam-katam,macam-macam jenis judi ada.Malangnya suami arwah babu (pakcik Awang) pun terlibat sama dan ini membuat babu sangat marah.

Satu hari saya dan Anang telah diberi tugas-tugas khas oleh arwah babu.Tugas khas itu ialah mengintip kemana pakcik Awang pergi dan apa dia buat.....jeng jeng jennnggg......Kami dengan bangganya menurut perintah dan sedia berkhidmat.Perlahan-lahan kami mengikuti pakcik Awang dari belakang.Kami pastikan beliau tidak menyedari kehadiran kami.Kik kik kik.....

Tiba di satu spot yang agak terlindung dari pandangan mata Babu Rukinah,Pakcik Awang pun membentangkan sehelai kertas yang terdapat macam-macam gambar.Orang ramai mula berkerumun didepan beliau.Sambil pakcik Awang membaling dadu orang ramai menikam gambar-gambar pilihan.Saya tidak berapa faham cara perjudian itu cuma apa yang saya nampak pakcik Awang memungut semua wang yang dipasang oleh orang yang turut serta dan memasukkan wang tersebut kedalam sebuah tin kosong.

Saya dan Anang terus berdiri di belakang pakcik Awang tanpa beliau sedar.Jarak antara kami dan pakcik Awang hanya dipisahkan oleh sebatang tiang dimana beliau bersandar.Sepertimana yang telah diarahkan setiap kali pakcik Awang mengutip wang dan memasukkan kedalam tin maka setiap kali itu juga saya dan Anang mengambil wang tersebut perlahan-lahan ...... hahaha dengan kata lain kami pi curi duit dia hehehe......

Malang tidak berbau, salah seorang peserta acara judi itu ternampak saya dan Anang mengambil wang dari dalam tin tersebut lalu melaporkan kepada pakcik Awang.Dalam keadaan panik saya dan Anang membawa lari semua wang kutipan pakcik Awang.Tapi memandangkan kami adalah spy upahan yang terlatih, kami tidak membawa wang itu kepada babu.Kami berlari ketempat lain,Kononnya supaya babu terlepas dari tuduhan bersubahat dengan kami.Kerana sayangkan Babu Rukinah kami rela menjadi kambing hitam.

Kami bersembunyi dibelakang gerai tempat orang menjual buah-buahan.Sambil bersembunyi dan menunggu kemarahan pakcik Awang reda sempat juga kami mengambil beberapa biji langsat milik orang.Addehhh.....mencuri la pula.

Kami hanya keluar dari persembunyian bila tuan punya langsat sedar yang kami telah mengambil beberapa biji langsat dari takiding dan memarahi kami.Diluar tidak kedengaran lagi suara pakcik Awang yang marah-marah malah kelibatnya juga tidak kelihatan.Kemana agaknya dia......?

Dengan gembiranya kami menyerahkan semua wang yang kami ambil tadi kepada Babu Rukinah dan ganjarannya tentulah secawan kopi dan sebiji kuih apam.Hmm....sedappppp.....

Sedang kami enak menikmati juadah hasil jerih payah kami menjadi spy tiba-tiba kami di kejutkan oleh suara bapa "Pulang....ini pula kerja kamu ikut-ikut sini.kecil-kecil sudah belajar jadi pencuri.Mulai sekarang kamu tidak boleh lagi ikut tidur di warung dan tidak boleh jalan kemana-mana kecuali sama bapa".Rupa-rupanya pakcik Awang telah melaporkan kejadian tadi kepada bapa.Patutlah beliau marah sakan.

Dengan lemah longlai kami ikut bapa pulang.Jauh disudut hati kami sedih dan risau takut tidak dapat bersama-sama dan bermanja dengan Babu Rukinah.Ternyata babu juga sama.Dia menutup gerainya dan menetap di rumah.Masanya lebih banyak dihabiskan melayan kerenah kami yang nakal dan manja.Pakcik Awang juga begitu tidak pernah jenuh melayan kenakalan kami terutama sekali saya yang terlalu manja kepada kedua-dua mereka.

Semasa bapa menyambung pelajarannya di Australia,mereka lah yang banyak membantu ibu menjaga kami.Pakcik Awang lah yang sibuk menggendong saya kesana kemari.Maklumlah saya sangat manja pada bapa dan setiap hari saya memanggilnya pulang.Kerana terlalu rindukan bapa maka setiap hari saya duduk di tangga menunggu kapal terbang limpas dan memanggil "Pakk...turunlaaahhhh....".Pakcik Awang lah yang akan memujuk saya.

Begitu juga sewaktu ibu dan bapa menunaikan haji di Mekah, mereka lah yang menjaga dan merawat kami disamping pakcik-makcik dan bapa tua Hj Baudi Unggut.Terkenal dengan sifat manja saya,bapa tua mempastikan semua anggota keluarga memberi perhatian pada saya." Jangan kamu kasi susah-susah hatinya,dia itu kalau tiga hari inda nampak bapaknya pandai sakit itu....". Lucu tapi itulah keluarga kesayangan saya - Keluarga Unggut yang sentiasa mengambil berat kebajikan keluarga.

Semoga roh mereka semua dicucuri rahmat.Al Fatihah.

Wednesday, April 8, 2009

Wanita-wanita istimewa dalam hidup ku

Hi salam semua,

Lama betul sia kasi tinggal ini blog,bukan apa....sia talampau sibuk bah.Macam-macam masalah timbul.Belum selesai satu datang lagi satu.Nasip lagi sia ni kira Taiko juga lah...... (addeehh...puji diri sendiri pula ni).....dapat juga sia kasi salasai lah satu persatu.Alhamdulillah.

Hampir setiap hari saya melihat wajah-wajah istimewa ini didepan mata,raut wajah,renungan mata mereka sentiasa terbayang dan terpahat teguh diminda saya.Lebih-lebih lagi bila saya ada masalah, bayangan wajah-wajah mereka memberi kekuatan semangat kepada saya kerana mereka adalah wanita-wanita gigih yang pernah saya kenali.Siapa kah mereka yang istimewa ini?

Wanita- wanita istimewa yang saya maksudkan adalah almarhum ibu saya Hajah Fatimah Unggut dan mendiang nenek Oriyim (Emak kepada almarhum ibu) serta almarhum Babu Rukinah @ Halimah (adik kepada almarhum ibu).Nenek Oriyim tidak berkesempatan untuk memeluk agama Islam walaupun almarhum bapa tidak putus-putus memujuk dan berdakwah bukan saja pada nenek tetapi semua ahli keluarga yang masih pagan.

Apa istimewanya mendiang nenek Oriyim dimata saya?

Saya hanya berkesempatan mengenali nenek dan tinggal berjiran dengannya selama lebih kurang 4-5 tahun saja.Tahun 1966 bapa membuat keputusan untuk menetap di Tandek setelah sekian lama berpindah-randah kerana desakan tugas sebagai guru sekolah.Waktu itu saya masih terlalu muda masih kanak-kanak dan belum mengerti tentang perbezaan pegangan agama.

Bapa membina rumah untuk kami tinggal di tanah ladang yang baru dibuka, manakala nenek Oriyim pula tinggal di tanah ladangnya sendiri di seberang sungai berhadapan dengan rumah kami.Waktu itu belum ada jambatan gantung untuk menghubungkan kami dengan nenek di seberang.Untuk ke seberang kami menyusuri sungai ketika air surut.

Satu hari ibu mengajak saya dan Anang ke rumah nenek. Dengan gembiranya kami ikut menyusuri sungai sambil mengutip siput Tuntul dan Kayakau yang banyak terdampar di pasir di dasar sungai.Kebersihan dan kejernihan air sungai Tandek ketika itu memberi peluang kepada pelbagai hidupan air untuk hidup disitu dan menjadi sumber makanan orang kampung.

Tiba di rumah nenek saya melihat ibu dan nenek mesra berbual-bual.Saya dan Anang hanya duduk diam mendengar perbualan mereka yang langsung kami tidak faham kerana mereka berbahasa kimaragang.Bosan..saya dan Anang meronda ke seluruh pelusuk rumah nenek. Setiap bilik dalam rumah itu kami buka.Bilik 1....wowww....harta karun....kata Anang.

Kami tergamam melihat banyaknya koleksi barangan yang diperbuat daripada tembaga didalam bilik itu.Cerek,periuk,talam,gong dan macam-macam lagi peralatan tembaga yang berukir indah.Saya cuba menghitung tapi tidak terdaya...terlalu banyak.Orang-orang Dusun Kimaragang memang banyak menyimpan barangan tembaga seperti ini yang di panggil Gadur dan Sumbul serta Tagung dan Kulintangan.

"Jangan kamu membungkar sanaa....." emak memberi amaran.Saya dan Anang keluar dan masuk pula ke dalam dapur.Kami meninjau-ninjau kalau-kalau ada makanan yang boleh kami makan.Tiba-tiba nenek pula bersuara.." jangan kamu makan apa-apa disana.kamu nda boleh makan sini ".Nenek berkata sesuatu pada ibu dan menyuruh kami pulang.

" Apa lah nenek tu...lokek...belum pun kita makan sudah bising marah...." kata Anang dan saya mengiyakan saja.Memang pada dasarnya nenek kelihatan sangat bengis,garang dan selalu saja marah bila melihat saya dan Anang datang kerumahnya.Tetapi di waktu-waktu lain dia begitu baik malah bersusah payah menghantar buah-buahan yang beliau petik dari kebunnya ke rumah kami.

Satu pagi,saya dan Anang berjalan berdua saja ke rumah nenek.Kebetulan di rumah nenek ramai keluarga berkumpul.Nenek menyediakan sarapan pagi yang begitu enak kelihatannya. Bila melihat saya dan Anang datang nenek pun mula marah-marah " Apa kamu bikin sini awal pagi ini....Omboh,Juali....kamu ingat ah...jangan kamu pandai-pandai kasi makan ini anak cikgu ini.Nda boleh diorang makan sini".

Nenek berlalu masuk ke dalam bilik sementara saya dan Anang hanya berdiri dipintu dapur. Bila kelibat nenek sudah tidak kelihatan makcik Omboh dan pakcik Juali memanggil kami masuk...."kamu mau makan?" Tanya makcik Omboh. "Mau". Saya dan Anang serentak menjawap.Makcik Omboh pun menghidang bihun goreng yang dimasak oleh nenek kepada kami.

Sedang kami enak makan tiba-tiba nenek muncul dan dengan kuatnya bertempik memarahi kami semua.Makcik Omboh dan Pakcik Juali kehairanan.Nenek Oriyim memulas telinga saya dan Anang dan menarik kami keluar ke kaki lima dapur dan memerintahkan kami muntah.

" Kaamu lah budak nda pandai mandangar di kasitau.Kamu muntah itu...muntah.Kasi muntah aku bilang...muntah.Kasi kurik itu leher kamu kasi muntah semua itu makanan." Nenek begitu marah sekali.Dia kemudian menjerit-jerit memanggil ibu di seberang.Bila ibu datang nenek terus memarahi ibu.

" Jangan lagi kau biar anak-anak kau datang sini.Kau lah ini kasi biasa-biasa diorang jalan sini.Kamu nda boleh sudah datang sini....kamu sudah lain.Nda sama sudah kamu sama kami. Kau jaga itu anak-anak kamu jangan diorang ikut-ikut kami makan". Panjang lebar nenek berceramah.Ibu hanya mendiamkan diri dan membawa kami pulang.

Dirumah saya dan Anang mula melemparkan soalan-soalan bonus kepada ibu dan bapa... " kenapa bah nenek tu jahat,kenapa bah nenek tu lokek,nenek nda suka mama kah,kenapa nenek nda suruh kita pigi rumah dia....bla...bla...bla...". Bertubi-tubi kami menyoal ibu dan bapa.

"Bukan begitu...nenek tidak jahat,nenek tidak lokek.Nenek sayang kamu sebab itu dia larang kamu makan di rumah dia.Kita Islam...nenek pagan (tiada agama).Kita tidak boleh makan apa yang nenek makan".Bapa memberi penerangan kepada kami.Barulah kami faham rupa-rupanya ketika itu hanya kami dan keluarga Babu Rukinah @ Halimah sahaja yang beragama Islam sedangkan ahli keluarga yang lain masih pagan.

Nenek Oriyim walaupun tidak berkesempatan memeluk agama Islam, beliau begitu mengambil berat kebajikan kami cucu-cucunya dan menjaga agar kami tidak termakan apa yang diharamkan dalam Islam.Beliau cukup memahami dan menghormati pegangan agama ibu dan bapa.Beliau tidak sekalipun memperlekeh pegangan agama kami.

Itulah istimewanya nenek Oriyim...tegas, gigih dan berani.