Friday, January 16, 2009

Bangkawot oh bangkawot

Hi,salam semua.

1966 pilihan raya pertama negeri Sabah selepas merdeka melalui Malaysia.Calon wakil rakyat bagi kawasan N5 Tandek pada waktu itu ialah Datuk Herman Luping dari parti UPKO.Saya masih kanak-kanak lagi waktu itu.

Sepanjang tempoh berkempen,rumah pakcik saya dijadikan markas.Kebetulan kami berjiran dan jarak antara rumah kami dengan rumah pakcik saya hanya sepelaung.Maka saya bersama abang saya anang selalu bertandang.Tujuan kami hanya satu - memungut tiub tayar basikal yang sudah tidak boleh digunakan untuk dibuat lastik.

Ada seorang 'mat saleh' bernama Robinson kalau tidak silap saya bekerja sebagai juruteknik sepanjang tempoh berkempen itu.Tugas beliau adalah untuk mempastikan peralatan seperti loudspeaker dan sebagainya berfungsi dengan baik setiap kali ceramah diadakan.Beliau akan berbasikal ke tempat-tempat dimana ceramah akan dibuat.

Biasalah jalan kampung macam-macam ada.Hampir setiap hari Robinson terpaksa menukar tiub dan cacing basikalnya.Basikal dulu-dulu bukan macam sekarang.Basikal dulu-dulu perlu pakai cacing kalau tidak tak boleh pam tayar.Tiub yang tidak digunakan lagi ini sangat berguna bagi saya dan anang.Tiub ini kami gunting dan jadikan lastik untuk melastik burung dan sebahagian lagi kami jadikan bahan komponen senapang ikan.Hahaha.....

Abang saya anang sebenarnya sangat kreatif.Bukan saja pandai buat lastik,senapang ikan malah dia juga pandai membuat sangkar burung.Kami selalu pergi menggetah burung serindit menggunakan getah nangka muda.Biasanya dalam sehari kami boleh dapat dalam 2 ke 3 ekor burung serindit atau dikenali juga sebagai teripos.Kalau nasip baik boleh dapat pula yang sepasang jantan dan betina.

Tandek dulu-dulu memang banyak sangat burung.Berbagai-bagai jenis burung dapat kita lihat terbang bebas di udara.Bukan saja burung serindit,burung nuri,raja udang,tekukur,murai,pipit,layang-layang,selangkir,helang,burung pungguk,but-but,wak-wak atau lebih dikenali sebagai keruak malah burung enggang pun ada.Di Tandek burung enggang di panggil likap.

Likap
ini bahaya sikit.Mentang-mentang dia dari spesis burung yang besar dia berani masuk rumah orang.Pandai buka periuk pula tu.Lain sikit ini burung.Hehehe.Memang banyak sangatlah burung-burung yang terdapat di Tandek dulu-dulu.Kalau saya nak sebut semua rasanya laman blog ini akan dipenuhi dengan nama burung saja.

Memang menjadi kegemaran kami adik-beradik setiap petang duduk beramai-ramai di tangga rumah melihat beburung yang berterbangan di udara di sekitar kawasan rumah.Dan sudah menjadi rutin harian kami untuk menunggu beberapa kumpulan burung keluang ataupun bangkawot terbang berkumpulan melalui 'ruang udara' kawasan rumah kami.

Yang paling seronok bila kumpulan bangkawot ini limpas,kami akan menyanyi beramai-ramai lagu istimewa ini dalam bahasa kimaragang :

bangkawot bangkawot
poguli-guliai po
intangai po tanak nu
nakasawit do ralau

yang bermaksud dalam bahasa melayu :

wahai sang keluang
berpatah baliklah kamu
lihat dulu anak mu
yang telah tersangkut duri


Lucu tapi benar; setiap kali selepas terbang beberapa meter dan kebetulan pula setelah dinyanyikan lagu diatas; salah seekor daripada kumpulan burung keluang tadi akan berpatah balik.Mungkin burung tersebut adalah ketua kumpulan dan berpatah balik untuk mempastikan semua anak-anak buahnya selamat.Atau adakah dia mendengar permintaan kami supaya dia berpatah balik untuk melihat anaknya yang tersangkut duri? wallahu alam.....yang pasti kami seronok.

Hingga berjumpa lagi di lain laman, saya akhiri dengan salam............

.........bangkawot ...bangkawot...

3 comments:

  1. hahahaha... siok ini cerita. bah, tulis pula pasal tongkuyu, bah.

    ReplyDelete
  2. Uik kenapa ko nda kasi tau pasal tu helang yang di panggil 'kondiu' yang suka curi ayam. hehehe. Aku kerja bah di rumah si babu Rukina yang dijadikan markas tu - aku tengah tunggu result Senior Cambridge.

    ReplyDelete
  3. Alamak...lagu bangkawot ni kicil2 dulu slalu dinyanyikan. Patut dirakam lagu ni supaya nda lupa.

    ReplyDelete