Saturday, February 21, 2009

Inspirasi ku

Heran sia...berabis pula kamu cerita pangait.hehehe...tiada bah semua itu.

Hai....salam semua,

Dulu masa saya kecil di Tandek ada juga saya dengar cerita pasal pengait ataupun soge'eh ini. Kononnya pengait ini memenggal kepala orang untuk diletakkan dibawah jambatan yang baru hendak dibina.Kononnya lagi kalau dibawah jambatan itu tidak diletakkan kepala orang maka jambatan itu akan roboh.

Bukan nak tunjuk pandai tapi dari kecil lagi saya dan abang saya Anang selalu berfikir mengikut lojik.Kami tidak akan terima cerita yang kami dengar secara membuta tuli tanpa alasan kukuh lebih-lebih lagi sekiranya cerita itu tidak masuk akal.Bagaimanapun kami tidak menolak mentah-mentah apa yang kami dengar.Kami akan mengkaji dan membuat rujukan tentang fakta atau kebenaran cerita itu.

Pakar rujuk kami tentulah mama dan bapa.Sekiranya mama dan bapa kata cerita itu benar barulah kami percaya tetapi biasanya setiap soalan kami berkaitan pengait @ soge'eh dan balan-balan (hantu penanggal) pasti mendapat jawapan begini ....manada ka semua tu, sengaja saja bah urang bikin2 tu cerita supaya kamu jangan kuat momiansau. Jadi kesimpulannya kami tidak percaya.

Mama dan bapa - sumber ilham ku

Mama dan Bapa adalah Inspirasi ku.Sesuai dengan jawatan bapa sebagai guru maka dia banyak mengajar kami pelbagai aspek kehidupan selain pelajaran di sekolah(siap ada papan hitam dan rotan disediakan di rumah.Wuakaka).Mama pula banyak mengajar kami kemahiran hidup.Dulu-dulu di sekolah tiada subjek ini jadi saya belajar dari mama.

Salah satu kemahiran yang mama ajar kami ialah belanjawan.Haa...jangan tak tahu,saya dari sekolah rendah lagi sudah pandai buat belanjawan tapi yang stail kampung-kampunglah.Setiap kali tiba cuti panjang penghujung tahun mama akan suruh saya dan Anang buat senarai barangan yang kami perlukan untuk sessi persekolahan tahun berikutnya.Selesai membuat senarai kami di suruh pula membuat anggaran kos pembelian barangan tersebut. Selepas itu kami diminta mencari sendiri dana yang diperlukan.

Pigi kamu kumpul itu kelapa tua,kamu belah lepas tu jemur bikin kopra.Nanti sudah kering kamu jual saana tampat si Ah Lian .Begitulah mama memberi tunjuk ajar bagaimana mendapatkan wang. Biasanya kami akan ke kebun memungut buah kelapa yang sudah tua bertiga, iaitu saya,Anang dan kakak kami Rohaya.Buah kelapa tua ini pula dikait oleh seorang pekerja yang bernama Ya'al.Tak tahulah kalau ejaan namanya itu betul tapi sebutan lebih kurang begitu. Masa saya kecil dulu saya selalu berfikir mungkin nama sebenarnya mirip nama inggeris Al.....hehehe

Maka kami bertiga pun bekerjalah di kebun memungut buah kelapa tua sebanyak-banyaknya menggunakan takiding (knapsack orang dusun).Lepas itu buah kelapa itu kami belah dan jemur hingga separuh kering atau sampai isi kelapa lekang dari tempurung supaya mudah kami kopek.Isi kelapa ini kemudian akan kami salai diatas tempat menyalai yang dipanggil garangan untuk dijadikan kopra.Sesudah itu kopra ini akan diisi kedalam guni untuk dijual.

Peraih seperti Ah Lian dan yang lain-lain akan datang mengangkut sendiri kopra tersebut dari rumah kami setelah menimbang berat kopra yang telah kami hasilkan.Dan mereka akan menghantar kopra ini ke kilang untuk dijadikan minyak masak.

Biasanya kami akan memungut buah kelapa tua yang ada di sekitar rumah tetapi oleh kerana saya dan Anang bercadang untuk mengumpul lebih banyak dana maka kami berdua pergi ke Kebun Lama untuk mengumpul buah kelapa tua yang ada disana.Maka setiap hari kami berulang alik ke Kebun Lama berdua saja.

Satu petang kami ditegur oleh seorang lelaki yang memang kami kenal dan orangnya sudah dewasa.Kami memanggil beliau dengan nama T....(biarlah saya saja yang tahu).Beliau dan keluarganya menumpang tinggal di kebun mama di Nobunsut dan dia bolehlah dikatakan sebagai orang kepercayaan mama.

Bagus kamu berenti-berenti dulu pigi kebun lama itu.Sana saana dulu kamu di rumah.Musim pengait ini sekarang.Ada sudah urang kana putung kapala.Saana Tingkalanon pun ada dua urang kana putung kapala.Begitulah T.... memberi amaran kepada kami.Tiba dirumah saya dan Anang pun bertanya kepada mama dan bapa.Entahlah, mungkin bagus jugalah kalau kamu jangan dulu pigi mana2.Diam2 ja lah dulu kamu dirumah.Mama memberi saranan.Maka saya dan Anang pun menurut saja.Kelapa tua yang sudah kami belah di Kebun Lama ditinggalkan begitu saja.

Selepas tiga hari dan setelah saya dan Anang berbincang panjang, kami mengambil keputusan untuk pergi ke Kebun Lama untuk mengopek isi kelapa tersebut.Lagipun kami merasa apa yang dikatakan oleh T.... itu hanya rekaan.Alangkah terkejutnya kami bila tiba di Kebun Lama..... semua kelapa tua yang kami belah itu hanya tinggal kulit dan tempurung saja sementara isinya habis dikopek orang.Naa kan...apa aku bilang.Memang orang sengaja bah bikin2 cerita pengait ni supaya orang kampung takut...jadi senanglah diorang mencuri.Diorang menyamar ja pura-pura jadi pengait tau2 pencuri.Anang meluahkan kemarahannya.

Kami berdua pulang ke rumah dengan perasaan hampa dan mengadu kepada mama dan bapa. Tidak lama kemudian sekumpulan orang dari Tingkalanon datang ke rumah.Cikgu oh cikgu.. ini si T.... kami tangkap.Dia mencuri padi yang kami jemur.Mula-mula dia kasi tau kami ada pengait jadi kami semua pun ketakutan.Pagi-pagi kami jemur padi lepas itu terus kami masuk berkurung dalam rumah sebab takut pengait.Bila petang kami mau angkat tu padi tiada sudah....habis kena angkat pencuri.Sudah tiga hari begitu jadi kami intailah siapa yang mencuri itu padi.Naahh...sekali kami tengok dia pula ini.Kami pukul terus kami ikat.Inilah kami bawa dia pigi sini.Ketua kumpulan itu memberi penerangan yang agak panjang lebar kepada bapa.

Bapa kemudian menasihatkan ketua kumpulan itu membawa T.... ke balai polis dan membuat laporan di sana.Setelah disoal siasat akhirnya T.... dipenjarakan atas kesalahan mencuri.Dengan insiden ini saya dan Anang tambah tidak percaya cerita pengait tapi tetap berhati-hati demi keselamatan.Semua ini berkat didikan mama dan bapa yang mengajar kami pelbagai kemahiran hidup.

Terima kasih mama dan bapa.....syukur kepada Allah SWT kerana mengurniakan kami ibubapa yang bijak dan prihatin....semoga Allah mencucuri rahmat keatas roh mereka dan di tempatkan bersama para solihin.....

Al-Fatihah


Saturday, February 7, 2009

Indahnya Tandek

Politik...politik...politik.Sana sini orang cerita politik.Dalam dewan dalam pejabat dan yang paling hebat dalam kedai kopi.Orang politik cakap pelan-pelan bincang-bincang dengan serius,pemerhati politik bincang secara ilmiah, orang ramai yang bukan ahli politik tetapi secara tidak langsung menjadi pemerhati pula yang paling bising di kedai kopi.Hehehe......biasa lah itu.

Assalamu alaikum dan selamat sejahtera,

Saya sebenarnya bukan mau cerita politik.Ini bukan bidang saya dan bukan kegemaran saya walaupun pada hakikatnya saya dilahirkan dalam keluarga yang rata-rata terlibat dalam hal ehwal berkaitan politik tanah air.Terus terang saya katakan otak saya tidak begitu kuat untuk berfikir bila disebut tentang politik.Tapi ini tidak bermakna saya tidak mengambil tahu hal-hal semasa terutama yang melibatkan negara kerana sebagai rakyat saya perlu tahu kemana hala tuju kepimpinan negara ini supaya mudah pula untuk saya merancang hala tuju saya sendiri. Dan untuk itu saya sentiasa pastikan saya berada di landasan yang betul bagi mempastikan negara terus aman dan saya boleh cari makan.

Bukan apa, bila kita berada di landasan yang salah, tindak tanduk kita boleh menggugat keamanan negara.Cari makan pun susah.Hala tuju...? Tidak tahu lah mau jadi apa.Asyik cerita politik saja tapi tiada rancangan pembangunan,buat apa?!. Jadi bagi saya fikir yang simple saja. Tenang-tenang cari makan, tak perlu jalan-jalan tunjuk perasaan.

Dulu-dulu selepas Sabah merdeka, kerajaan telah menubuhkan Jabatan Penerangan yang bertindak sebagai ejen kerajaan untuk memberi pelbagai bentuk informasi kepada rakyat dan begitu juga sebaliknya. Di Bandau sebuah pejabat Jabatan Penerangan telah dibina di penghujung tahun 60an.

Apa yang menarik bagi saya bila bercakap tentang Jabatan Penerangan ini ialah wayang prii .....hehehe.Memandangkan di tahun 60an belum ada lagi siaran telivisyen dan Tandek pula begitu jauh terpencil serta tidak mempunyai pawagam maka peluang untuk menonton wayang gambar hampir tidak ada.Maka dengan adanya Jabatan Penerangan ini barulah saya dan orang kampung Tandek berpeluang menontong wayang gambar.Free pula itu.

Biasanya pegawai penerangan akan menghebahkan ke seluruh kampung jika ada wayang prii.
Hebahan ini mereka buat dengan menggunakan pembesar suara yang dipasang diatas kenderaan milik Jabatan Penerangan.Maka akan kedengaranlah laungan yang sangat saya nanti-nantikan ini.....Tuan2 dan Puan2, malam ini ada wayang gambar di padang sekolah SRK Tandek........hati saya berbunga kegembiraan mendengarnya.Wuakaka.....

Kenderaan milik Jabatan Penerangan ini akan masuk ke seluruh pelusuk kampung sambil menghebahkan kepada umum tentang wayang prii yang bakal ditayangkan.Orang yang sedang bekerja diladang atau disawah mengambil kesempatan untuk pulang awal mandi dan bersiap-siap untuk ke padang sekolah menonton wayang gambar.

Saya pun tidak ketinggalan.Biasanya saya akan ditemani oleh Anang,Rohaya,Pakcik Awang dan Babu Rukinah.Sementara bapa dan mama hanya duduk dirumah menjaga adik-adik yang masih kecil.Maklumlah kami ni adik-beradik terlalu ramai sampai 14 orang....Nong, kau minta list nama kami semua adik beradik kan?....hmm....paning saja kau tu nanti kebingungan oleh talampau ramai....hehehe.

Kami akan berjalan kaki beramai-ramai ke padang sekolah bertemankan cahaya lampu suluh ataupun lampu picit.Dan ada juga yang menggunakan cahaya obor atau babang.Sepanjang perjalanan saya dan Anang adalah antara yang paling gembira.Apa tidaknya didalam kegelapan malam bertemankan cahaya babang dan lampu picit,saya dan Anang sempat lagi menangkap uir-uir - sejenis serangga berwarna hijau,bentuknya seperti lalat cuma saiznya agak besar dan berbunyi agak kuat.

Sebelum wayang gambar dimulakan ucapan alu-aluan akan diadakan.Didalam ucapan ini tentu saja diselitkan berbagai informasi penting yang ingin disampaikan oleh kerajaan kepada rakyat. Dan biasanya ucapan ini akan disampaikan oleh pegawai bertugas yang mana salah seorang daripadanya adalah warga Tandek sendiri iaitu Haji Ahmad Ali Bin OKK Osman atau nama glamournya Ning.Bukan Ning Baizura tapi Ning anak Babu Undaun.

Seperti kebiasaannya saya ini memang jarang memberi perhatian dalam bab ucapan-ucapan politik.Tambahan pula pada masa itu saya masih kecil lagi dan kurang faham tentang apa yang ingin disampaikan melalui ucapan itu.Cuma apa yang menarik perhatian saya pada masa itu adalah laungan Merdeka! sebanyak 3 kali yang merupakan laungan wajib setiap kali tayangan gambar percuma tajaan Jabatan Penerangan diadakan.Dan saya akan memekik dengan kuatnya Merdeka..Merdeka.....Merdeka....!!! bukan kerana saya begitu patriotik (malah masa itu saya tidak tahu pun kenapa laungan itu dibuat) tetapi kerana saya tahu selepas laungan itu wayang prii akan dimulakan.

Seronoknya tidak terhingga melihat ramainya warga Tandek berkumpul dipadang sekolah menonton wayang.Masing-masing mengambil bangku dari dalam kelas dan dibawa kepadang. Hmm....berani-berani ja ambil tanpa izin dari guru besar.

Tayangan gambar biasanya dari filem-filem melayu yang dibintangi oleh P Ramlee, Rosyatimah dan ramai lagi.Pakcik Awang paling suka kalau dapat tengok wayang P Ramlee.Dia kata suara P Ramlee itu bulat.Saya hanya mendengar saja apa yang dikatakan Pakcik Awang dan sesekali cuba membayangkan bagaimana bulatnya suara P Ramlee.Sambil menonton terdapat pula selingan telur bercahaya terbang di udara dan orang ramai memekik atau memangkis dengan kuatnya.Kononnya bila terdengar suara orang memangkis,telur bercahaya ini akan jatuh.Benar atau tidak....wallahu alam.Tetapi perihal telur terbang ini sudah terlalu sinonim dengan Tandek dan bukan sesuatu yang perlu dihairankan.

Setelah tamat tayangan gambar tibalah masa untuk pulang.Masa ini saya sudah separuh tidur. Saya akan memegang tangan Pakcik Awang sambil berjalan dengan mata separuh tertutup.Apa lagi semua lopak dan lumpur saya pijak.Pakcik Awang pula tidak henti-henti memarahi saya sepanjang jalan pulang.Biasanya saya hanya akan menjawap....dukunglah bah aku.hehehe. Dan biasanya walaupun marah-marah sambil muputok (merungut),saya akan di sungang (di gendong diatas bahu) oleh Pakcik Awang.

Selain daripada Jabatan Penerangan terdapat juga berbagai syarikat swasta yang datang ke Tandek membuat tayangan gambar percuma.Biasanya syarikat-syarikat ini adalah syarikat rokok yang datang membuat promosi produk mereka seperti White Horse dan syarikat yang terbabit dalam pengeluaran bahan minuman seperti Milo dan Ovaltine.

Bezanya antara syarikat-syarikat ini dengan Jabatan Penerangan ialah filem-filem yang ditayangkan adalah filem dari barat dan filem cina.Maka timbullah istilah-istilah Wayang Milo, Wayang Ovaltine dan Wayang White Horse.Saya dan Anang paling suka kalau ada Wayang White Horse kerana filem yang ditayangkan adalah filem koboi yang dibintangi oleh John Wayne.Biasanya dalam filem ini digambarkan kisah pertarungan antara orang putih dengan kaum red indian.Tetapi oleh kerana filem ini berbahasa inggeris dan saya pada masa itu hanya tahu pis pis kelupis pais (tak pandai bahasa inggeris la tu) maka saya hanya mengandaikan bahawa filem koboi itu mengisahkan tentang seorang anak muda lawan bombek.Wuakaka.Tapi siuk jugalah sebab setiap dialog dalam filem koboi itu saya karang sendiri dalam saya punya kepala.Dan bombek itu adalah red indian.

Saya dan Anang memang sudah ketagih menonton wayang prii.Pantang ada tayangan gambar kami mesti pergi.Satu hari ada wayang ovaltine.Filem yang ditayangkan adalah filem cina.Pakcik Awang tidak mahu menemani kami dan bapa pun melarang kami pergi berdua saja. Tapi kerana kami memang sudah ketagih wayang kami curi-curi keluar melalui tingkap bilik tidur kami.Sepatutnya kami ini mendapat anugerah paling kuat momiansau.

Tiba di padang sekolah tayangan gambar telah dimulakan.Saya dan Anang mencari tempat paling selesa untuk menonton.Tiba-tiba ada lagi selingan telur terbang.Orang ramai memangkis tapi telur terbang itu tidak jatuh.Entah kenapa keadaan menjadi riuh rendah. Orang ramai berlarian seperti ketakutan.Saya dan Anang pada mulanya relax saja tapi keadaan seperti bertambah teruk.Saya dan Anang pun berlari pulang ke rumah.

Di pertengahan jalan kami ternampak lagi sebiji telur terbang dan kali ini cahaya api seakan memercik-mercik dari telur terbang tersebut.Saya dan Anang memangkis sekuat hati tetapi tidak menampakkan kesan.Barulah kami sedari rupanya kami hanya berdua didalam kegelapan malam itu tanpa ada cahaya lampu picit mahupun babang.

Kami berlari sekuat hati hingga tiba di perkarangan rumah dan terus menuju ke tingkap bilik tidur kami yang sengaja kami tinggalkan dalam keadaan terbuka.Alamak.....siapa tutup jendela, macamana kita mau masuk....saya bertanya kepada Anang bila melihat tingkap bilik kami sudah terkunci.Rupa-rupanya bapa datang memeriksa bilik kami semasa kami keluar menonton wayang dan dia sengaja mengunci tingkap dan pintu untuk memberi pengajaran kepada kami. Dengan lemah longlai kami pun naik kerumah melalui tangga hadapan dan duduk di kaki lima.

Tapi bapa memang sangat penyayang, walaupun kami telah melakukan kesilapan besar dan sudah bersedia untuk tidur di kaki lima, namun semangat kebapaan meruntun jiwa bapa dan mengizinkan kami masuk.Lain kali jangan buat begini lagi kata bapa dan kami hanya mampu mengangguk.