Monday, December 28, 2009

Hari raya di Dandun - 1971

Tidak lama lagi kita akan menyambut tahun baru 2010...dan kita baru saja menyambut tahun baru hijrah diikuti dengan Hari Natal yang disambut meriah oleh rakan-rakan kita yang beragama kristian.

Teringat pula saya sewaktu kecil dulu di Tandek.Waktu itu kaum keluarga sebelah ibu majoriti adalah pagan ataupun kristian.Keluarga ibu yang beragama islam ketika itu hanya 3 orang. Walaupun begitu setiap kali tiba hari raya kami tetap gembira dan menyambut meriah hari perayaan ini bersama kaum keluarga.

Seperti keluarga islam lain kami turut berziarah.Kami sekeluarga akan menziarahi atuk sebelah ibu (Aki Unggut) walaupun ketika itu beliau belum memeluk agama islam.

Saya masih ingat lagi....pagi itu buat pertama kalinya saya memakai gown maxi yang dibeli oleh kakak sulung saya Norliah.Oleh kerana saban hari saya hanya menggenakan seluar panjang dan baju T maka pada hari itu saya merasa agak kekok berjalan.Namun pujian demi pujian dari ibu,bapa,pakcik dan makcik menaikkan semangat dan saya pun atur langkah ala-ala ayu gitu hehehe.Maklumlah saya ini agak kasar dan tomboy.

Kami memulakan perjalanan beramai-ramai duduk berhimpit dalam kenderaan milik Pakcik Ungas dan Abang El menuju ke rumah Aki Unggut di Dandun.Kata bapa walaupun Aki Unggut belum islam tidak bermakna kita tidak boleh berhari raya bersama beliau.Malah menjadi satu kewajipan bagi kita sebagai anak menziarahi mereka yang lebih tua.

Tiba di Dandun pakcik Ungas dan abang El meletakan kereta ditepi jalan.Rumah Aki Unggut terletak diatas sebuah bukit dan kami terpaksa berjalan kaki mendaki keatas.Bukit itu tidaklah terlalu tinggi tapi pemandangannya amat memukau.

Dihadapan rumah Aki Unggut terdapat sebuah padang kuda yang berpagar.Padang ini adalah tempat dimana Aki Unggut melatih kuda-kuda milik beliau sebelum dijual kepada pembeli yang awal-awal lagi telah menempah kuda-kuda tersebut.Terdapat seekor kuda berwarna putih.Kata mama kuda itu pandai menari.Saya berlari dan cuba memanjat pagar kayu yang dipasang disekeliling padang kuda itu.Kuda putih itu berlari perlahan-lahan kemudian berdiri diatas dua kakinya sambil berbunyi dengan kuat.

Saya seronok melihat kuda-kuda itu tapi Aki Unggut panik la pula.Sambil berdiri dikaki lima rumahnya Aki Unggut memekik mengarahkan saya turun dari atas pagar.....'Turunnn....apa kau buat naik sana....nanti kau kena sepak kuda itu....kau inda boleh dekat-dekat kuda,kau itu perempuan....." Kata Aki Unggut.Dalam hati saya berkata...." apa lah Aki Unggut ini,aku koboi bah...mestilah belajar naik kuda....dia inda tau kah aku ni koboi?...."

Naik kerumah kami disambut gembira oleh Aki Unggut.Beliau sangat suka melihat kedatangan menantu kesayangannya Cikgu Jalil ini.Kebetulan masa itu Aki Unggut sedang minum kinomol yang diletakkan dalam sebuah besen (Mimpun).Dengan rasa gembira Aki Unggut mempelawa bapa minum bersama tapi bapa menolak dengan baik.Dari dapur kedengaran suara Odu Unggayun memarahi Aki Unggut dalam bahasa kimaragang yang antara lain maksudnya ialah " jangan memandai-mandai ajak cikgu tu minum arak,dia tu islam tak boleh minum arak".

Bapa dan mama hanya ketawa mendengar omelan Odu Unggayun yang sedang sibuk membuat kopi untuk dihidangkan kepada kami." Macamana ini...semua gelas sudah kena pakai bikin minum kinomol,terpaksalah kamu pakai mangkuk ini minum kopi...tiada sudah gelas".Kata Odu Unggayun.Duduk dilantai beramai-ramai sambil menghirup kopi o panas dan makan roti masin sangat menyelerakan.Lebih-lebih lagi bila dikelilingi keluarga Aki dan Odu yang sangat penyayang.

Inilah kelebihan keluarga ibu....mereka sangat prihatin dan mengambil berat.Sehingga jika ada mana-mana ahli keluarga bapa yang datang berziarah dari Tawau terasa tidak mahu pulang. Mereka akan tinggal di Tandek hingga berbulan-bulan lamanya.Malah kenangan yang mereka alami semasa di Tandek seperti pengalaman menunggang kerbau menjadi ingatan dan bualan hingga ke hari ini.Seperti saya, mereka juga rindu suasana kampung Tandek.

1 comment: