Wednesday, October 14, 2009

Aku, Anang, Ah Keong, Amjah dan Bonging

Dulu masa kecil, saya dan Anang selalu bermain-main di pekarangan kedai Tandek. Kami mempunyai ramai kawan yang tinggal berhampiran.Setiap hari sewaktu cuti sekolah kami akan bermain bersama-sama di sebuah kawasan lapang dihadapan barisan kedai Tandek yang terletak berhampiran sungai.

Jenis permainan pula mengikut musim.Kadang-kadang main guli,gasing,tumpos, main tali,main galah (orang Tandek kata main jabat) atau main layang-layang. Alat permainan kebanyakannya kami buat sendiri contohnya gasing dan layang-layang.

Anang sangat mahir membuat gasing dan layang-layang.Malah bukan itu saja dia juga mahir membuat sangkar burung serindit (teripos) dan senapang ikan. Besar kemungkinan jika Anang meneruskan hobinya ini hingga sekarang tentu dia boleh buat bakakuk sendiri....hehehe

Satu hari saya dan Anang pergi ke kedai Tandek tetapi kawan-kawan yang selalu bermain bersama tidak kelihatan.Maka saya dan Anang pun pergi ke stesen minyak Benzin milik Encik Koh Chin Siong atau lebih dikenali sebagai Ah Siong. Beliau bukan saja seorang peniaga tetapi juga merupakan Kapitan Cina di Tandek.

Stesen minyak ini tidaklah seperti stesen minyak yang kita lihat hari ini. Ia terletak di sebuah kawasan yang lapang manakala minyak benzin yang dijual disini disimpan didalam deram dan hanya diletakkan diatas tanah.Tidak ada dinding mahupun atap.Ampai-ampai kata orang Sabah.Jika ada pembeli yang datang untuk membeli minyak, maka minyak akan dipam keluar secara manual.

Saya dan Anang meninjau-ninjau sekeliling stesen minyak ini dan mendapati beberapa tong deram rebah ke tanah.Rupa-rupanya deram ini sudah tidak berisi. Kami naik keatas deram yang rebah ini lalu deram ini bergolek dan kami terjatuh. Setiap kali kami naik keatas deram ini ia akan bergolek dan kami pula akan jatuh ke tanah.

Ini membuat kami berasa sangat seronok dan tercabar lalu kami berusaha keras untuk berdiri diatas deram yang bergolek tanpa jatuh ke tanah.Hasilnya deram itu bergolek kesana-sini sementara kami terus bertahan berdiri sambil mengimbangi badan diatas deram supaya tidak jatuh.

Tanpa kami sedari kami telah bergerak jauh dari stesen minyak tadi dan gelagat kami menarik perhatian Ah Keong; kanak-kanak lelaki tionghua yang tinggal berhampiran.Ibu Ah Keong adalah pengusaha salon rambut di pekan Tandek ketika itu.

Ah Keong berlari-lari mendapatkan kami dan turut mengambil sebuah deram kosong.Tidak berapa lama kemudian beberapa orang kanak-kanak lain turut bermain sama.Maka riuh rendahlah jadinya.Deram kosong berserakan disana-sini.Akhirnya kami dimarahi oleh tuan punya stesen minyak.

Saya dan Anang berlari ke kawasan warung dimana Babu Rukinah menjalankan perniagaan warong kopinya.Ah Keong pula mengekori kami." Heii....pulang,jangan ikut kami".Kata Anang tapi Ah Keong tidak peduli dan terus mengekori kami.

Saya dan Anang tidak ke warung Babu Rukinah tetapi berlari terus ke warung milik ibu kepada salah seorang rakan baik kami bernama Amjah dan bersembunyi di belakang warung itu.Tujuan kami supaya Ah Keong tidak dapat mencari kami dan akan pulang kerumahnya.Tetapi Ah Keong berjaya menjejaki kami.

Kami berlari semula ke stesen minyak,kali ini ditemani Amjah.Kami bersembunyi di celah-celah deram berisi Benzin kemudian berlari semula kearah warung. Berbagai cara kami lakukan supaya Ah Keong berhenti mengekori kami tetapi Ah Keong tetap tidak mahu pulang.

Akhirnya saya, Anang dan Amjah masing-masing memanjat pokok yang ditanam berbaris diantara dua deretan warung di pekan Tandek itu.Pohon kayu itu adalah dari jenis kayu lembut kalau tidak silap mungkin dari spesis kayu beringin.Ia rendah dan rendang, dijadikan pohon hiasan disamping berbagai spesis bunga-bungaan lain.Cantik sekali pekan Tandek masa itu.

"Apa kamu buat diatas sana?" tanya Ah Keong.

"Ohh...kami dengar radio" kata Anang dan Amjah serentak.Sementara saya pula kebingungan.Mana ada radio atas pokok ni saya berkata dalam hati.Waktu itu saya tidak perasan bahawa pokok yang saya panjat itu mempunyai lubang kecil dan lubang itu adalah sarang bonging.Saya tidak tahu apa itu bonging dalam bahasa melayu.Ini adalah nama yang sering kami gunakan.

Bonging adalah sejenis serangga yang agak besar seperti lebah (penyengat) cuma tidak mengeluarkan madu.Ia suka membuat sarang didalam batang pokok. Uniknya sarang ini tidak kelihatan dari luar.Apa yang kita nampak hanyalah satu lubang kecil cukup-cukup untuk seekor bonging keluar masuk.Biasanya kami akan mencucuk lubang ini dengan ranting kayu dan bonging itu akan mengeluarkan bunyi dengung yang kuat dan inilah yang dimaksudkan dengan 'radio'.

Melihat lubang itu fahamlah saya maksud Anang dan Amjah.Saya turun dari pokok lalu mengambil sebatang ranting kayu dan memberikannya kepada Ah Keong. "Nahh....ko ambil ni..ko panjat ni pokok.Ko nampak tu lubang kan? ko cucuk pakai ni ranting pas tu ko dengarlah....ada tu radio bebunyi..."

Kami bertiga lari beredar sementara Ah Keong terus duduk diatas pokok mendengar bunyi bonging.